13 Jun 2012

SriKaNDi CiNtAkU - part 7

     Terpisat-pisat mata aku saat mencapai telefon. Awal pulak jam ni berbunyi? Aku rasa macam baru je lelap. Pedih mata aku melihat cahaya lampu di skrin telefon, dan aku melihat alarm jam. Bukan alarm ni, siapa pulak yang panggil aku? Sekali lagi telefon berdering. Hah? Bos?! Apa dia nak ni? Aku berdehem-dehem sesaat sebelum menjawab panggilannya.
     " Assalamualaikum, debab! Kau dah tidur ke?" soalnya. Ape punya soalan tu hah?
     " Waalaikumsalam, bos! Hampir terlelap. Ada apa, bos?" soalku. Kedengaran dia mengumam. Aku menggaru lengan yang gatal. Apalah dia nak ni...
     " Debab, esok pagi aku pick up kau, okey?" sebaik saja aku mendengar permintaan dia, aku bingkas bangun. Aku merenung telefon aku sesaat. Betul ke bos aku ni?
     " Apa, bos? Nak pick up saya? Apesal pulak?" soalku dengan suara yang kuat.
     " Syhh..slow la sikit suara kau tu! Esok kau masuk lambat sikit! Aku datang ambik kau dalam pukul 10 pagi," katanya. Aku merengus, geram.
     " Bos nak bawak saya ke mana?" soalku lagi. Kedengaran dia pulak mendengus.
     " Jangan banyak tanya, boleh tak? Kau tunggu je pukul 10 esok, aku ambik kau nanti," katanya dengan geram.
     " Tak naklah! Entah-entah bos nak jual saya!" aku terus melawan.
     " Aku nak jual kau buat apa? Bukan dapat untung pun! Orang kalau nak beli kau pun fikir 10 kali, dengan debab macam tu bapak ayam pun tak nak!" jawabnya dengan marah. 'Minah ni banyak soal pulak!' hatinya mengumam. Aku terkedu, hatiku terluka. Belum sempat aku menjawab, aku pantas mematikan talian. Jam di telefon aku kerling, baru pukul 1.45 pagi. Bertebiat apa bos aku ni! Sesedap rasa ayam KFC je nak hina-hina aku. Hampeh! Belum sempat aku baring kembali, dia telefon lagi. Ish! Aku mencampakkan telefon ke bawah katil. Lantak kaulah telefon, menyanyilah kat situ! Aku kembali menyambung tidurku.
                           ***************************************************
     " May!!" jerit Nadia sambil mengetuk pintu bilik bertalu-talu. Aku terperanjat lalu bangun dengan pantas. Kepalaku pening seketika.
     " Oih!" aku menjawab bagi mengelakkan Nadia merobohkan pintu bilik aku. Haha.
     " Kau tidur mati ke, hah? Naik lenguh tangan aku ketuk pintu bilik kau! Bangunlah! Dah pukul 6.45 pagi!" jeritnya lagi.
     " Handphone aku kong lah! Jam tak bunyi! Aku dah bangun ni," jawabku memberikan alasan. Padahal malam tadi aku campak telefonku ke bawah katil. Pantas aku mengintai bawah katil dan mencapai telefon. Hurm, ada 6 missed call dan 2 mesej. Aku menekan butang panggilan tak dijawab, semuanya dari Adam. Mesej aku buka, pun dari Adam jugak. Wah, siap main ugut-ugut pulak!
     "Bos Singa : 
                      Debab, pagi ni kau jgn lupa, aku pick up kau pukul 10. 
                     Jgn nak elak2, aku potong gaji kau untuk 2 bulan!"
Hampeh punya bos! Aku mencapai tuala lalu menuju ke bilik air dengan hati yang geram.
     Usai solat subuh, aku bersiap ala kadar. Nadia sudah keluar terlebih dahulu dari aku. Memang tiap-tiap pagi pun macam tu, ikut mood aku jugaklah. Aziah pernah tanya aku kenapa aku tak tumpang Nadia datang ofis, sebabnya aku ada kereta sendiri so tak payah lah aku nak tumpang dia. Aku bersarapan pagi cuma segelas milo panas sambil menonton tv. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Pantas aku bangun ke dapur, membasuh mug dan terus bersiap. Setelah siap, aku mencapai beg laptop dan kunci rumah, lalu aku menunggu kedatangan Adam di luar rumah.
      Aku respect mamat ni sebab dia seorang yang menepati masa. Tepat jam 10 pagi, dia muncul di depan rumahku. Pantas aku menuju ke keretanya lalu terus masuk. Dia tersengih memandangku. Aku menjeling.
     " Apa?" soalku dengan rasa tak puas hati. Dia ketawa.
     " Assalamualaikum, Maysarah!" ucapnya. Aku terdiam, termalu sebentar.
     " Waalaikumsalam!" aku menjawab perlahan. Dia terus memandu perlahan.
     " Pagi-pagi jangan marah, nanti rezeki tak masuk! Senyum sikit," katanya dengan nada yang amat romantis. Aku hampir-hampir terbuai tapi nak gelak pun ada.
     " Ate, dah kata nak pick up saya! Mahu tak terkejut?" soalku. Dia ketawa. Keretanya terus meluncur ke arah lebuhraya.
     " Kau dah makan?" soalnya. Aku angguk. Malas nak suruh dia singgah mana-mana kedai sebab kalau makan dengan dia memang selera aku mati.
     " Aku belum makan. Jom makan dulu?" soalnya. Hah! Aku dah kata dah!
     " Saya dah kenyang! Boleh bos bagitahu tak, bos nak bawak saya pergi mana ni?" soalku. Dia tersenyum simpul. Ish, dia ni! Aku lempang free jugak kang! Senyum-sengih dah ghope kerang busuk!
     " Kita makan dulu, okey? Nanti aku cerita," katanya lalu kereta memasuki kawasan Klang. Hurm, nak cari bakso la tu. Apabila jumpa gerai makan, kami turun untuk bersarapan pagi. Aku hairan, apasal la bos aku ni cari kedai makan punyalah jauh dari Putrajaya? Pelik betul aku rasa. Aku cuma memerhati dia makan. Berselera sungguh!
     " Bos, kenapa bawak saya sampai Banting?" soalku. Dia ketawa.
     " Area sana nanti ada yang kenal kita, tak pasal-pasal kita kena gosip kering. Kau nak kena gosip dengan aku ke? Aku no problem, suka sangat kena gosip! Haha," jawabnya lepas tu gelak macam nak rak. Senget! Orang keliling dah pandanglah tu, bos oii! Berpada-pada lah nak gelak tu, kang orang ingat kau ni smart tapi otak kureng! Tak pasal-pasal aku yang kena tempiasnya. Aku mencebik.
     " Malas nak layan bos! Ni apesal tetiba nak pick up saya ni? Nak bawak saya ke mana?Buang tebiat ke hape?" soalku sambil menghirup milo panas. Milo lagi! Kang aku lena depan komputerlah jawabnya. Dia ketawa lagi.
     " Debab, aku nak mintak tolong kau ni! Boleh tolong tak?" soalnya apabila selesai makan.
     " Tolong apa lagi?" soalku.
     " Jom, dalam kereta aku cerita," katanya lalu bangun menuju ke kaunter. Selesai saja dia membayar harga makanan, kami menuju ke keretanya. 'Hish, tadi kata nak cerita masa makan tapi tak cerita pun. Ini kata nak cerita dalam kereta pulak! Memain sungguh lah dia ni!' aku membebel perlahan.
     " I heard that, May," katanya sambil menghidupkan enjin kereta. Pantas aku menekup mulut lalu aku ketawa. Kereta meluncur pergi menuju ke arah Putrajaya semula. Sambil dia memandu, sesekali aku memandang ke arahnya. Hurm, bos aku ni kacak jugak orangnya. Bertuahlah bakal isterinya nanti. Aku tersenyum sendirian.
     " Apa yang kau tengok tu, May?" sergahannya membuatkan aku tersentak. Pantas aku memandang semula ke depan. Dia ketawa. 'Allah, malunya aku tenung-tenung anak teruna orang!' hatiku beristighfar. Aku diam. Menyesal pulak terima pelawaan dia pagi ni. Hurm.
     " May, aku nak mintak tolong kau ni. Kau tahu kan yang aku akan berkahwin tak lama lagi, so aku nak mintak tolong kau pilihkan cincin untuk bakal wife aku. Aku tak retilah," katanya. Aku cuma terkebil-kebil lalu memandangnya.
     " Apasal bos tak ajak bakal wife bos tu pergi?" soalku. Dia menggaru kepalanya.
     " Dia jauh, jadi aku nak bawak kau pergi beli sebagai wakil. Orang perempuan kan pandai memilih barang kemas," katanya lagi. Aku angguk.
     " Bos tahu ke saiz jari dia?" soalku. Dia menggeleng. Adeh, macam mana nak tolong ni? Saiz jari aku je dah montok-montok. Giliran aku pulak menggaru kepala. Habis senget tudung aku.
     " Macam mana?" soalku. Dia mengeluh.
     " Alah, kat kedai emas nanti kau pilihlah yang mana cantik-cantik. Pasal saiz tu tolak tepi. Kalau longgar adjust lah nanti," katanya. Aku cuma mendengar cadangannya itu sehinggalah kami sampai di Alamanda. Susah betul dapat bakal hubby macam ni! Kami terus menuju ke kedai emas Poh Kong. Pagi plus tengahari tu kopaklah jugak poket bos aku! Tapi apa nak kisah, dia kan BOS!
                                   ***************************************************
     Aku melangkah longlai ke dalam pejabat. Nasib baik semua keluar makan. Aku membuka laptop aku dan terus menyambung kerja semalam. Kemudian aku melihat Adam bergegas masuk terus ke biliknya. Sambil lalu, dia memandang ke arahku lalu mengucapkan 'thanks' kepadaku. Aku cuma tersenyum, lalu menyambung kerja.
     Habis waktu lunch, semua staff masuk. Nadia dengan Aziah memandang aku dengan satu pandangan yang pelik. Aku buat tak tahu saja. Aziah bertenggek di meja aku. Aku cuma menjeling.
     " Woih! Lewat masuk? Kau ke mana?" soalnya. Aku mencapai fail Nilai lalu menyemak tanpa mempedulikan soalan dari Aziah.
     " Biar dia tu, Azie! Dia ada share dalam company Tan Sri ni," perli Nadia. Aku ketawa.
     " Merepek jelah kau ni, Nad!" kataku. Aziah tersengih lalu menghulurkan not seratus dua keping kepadaku. Aku memandangnya.
     " Duit perfume," katanya. Aku angguk. Oh, dah gaji! Haha. Aku terus menyambung semula kerja aku yang terhenti sebentar tadi. Baru 10 minit buat kerja, Adam memanggil aku ke biliknya. Hish, dia ni! Apa lagi dia nak? Aku bangun sambil menepuk tangan atas meja. Panas hati! Aku melangkah kasar ke biliknya. Aziah dengan Nadia berpandangan.
     "Ada apa lagi, bos?" soalku. Dia menyuruh aku menutup pintu dan duduk. Aku masuk dan menutup pintu. Aku lihat dia merenung team list yang aku bagi semalam. Adeh, apa pulak kali ni? Aku duduk di hadapannya.
     " May, thanks sebab kau sudi teman aku pergi beli cincin tadi," katanya sambil menatap list yang berada di depannya. Aku menongkat dagu.
     " Apalah bos ni. Kan saya kata okey je," jawabku. Dia memandangku lalu tersenyum. Alahai, manisnya senyuman dia. Baru aku perasan yang dia ada lesung pipit kecil di pipi kanannya. Aduh, bos! Janganlah senyum macam tu depan aku, kang aku hilang iman, tak pasal-pasal aku kiss pipi kau!
     " Kau tengok apa, debab?" soalnya secara tiba-tiba dan spontan aku tersentak sampai terjatuh tangan yang bagus dok menongkat dagu aku tadi. Aku tersengih. Mukaku terasa panas. Hampeh punya bos!
     " You are blushing, May," katanya seakan menyindir. Alamak! Cepat-cepat aku bangun lalu berpaling untuk keluar. Malunya...dia sedar aku dok tengok dia! Huhu.
     " Nak ke mana tu?" soalnya. Aku terhenti di pintu. Tapak tangan aku lekapkan pada pipi aku kiri dan kanan. Huh, nak ape lagilah orang tua ni?
     " Nak keluarlah, sambung buat kerja!" jawabku tanpa menoleh ke arahnya. Terdengar dia ketawa kecil. Suka ye ketawakan aku!
     " Sorry pasal semalam tu. Aku tak check langsung fail tu atas nama siapa yang incharge! Main redah je suruh kau pergi," katanya. Hah, tahu pun! Dah agak dah, memang tak check! Nasib baik fail aku semalam aku ingatkan!
     " Hurm, dah agak pun bos memang tak check fail tu!" jawabku separuh mengumam. Lalu aku menoleh dan melihat dia bersandar di kerusi sambil memandang aku dengan senyuman. Aku berdiri saja menyandar ke dinding, memerhatikannya kembali. Kali ini giliran dia pulak duduk menongkat dagu.
     " Tapi kan, debab, aku pun tak tahu kenapa aku suka sangat nak bercakap dengan kau, walaupun takde point! Macam semalam, aku tau fail audit tu under Zain dan Rafik, tapi aku nak jugak cakap dengan kau! Even kau menyindir aku sampai aku blushing, aku tak kisah," katanya. Aku mengangkat keningku. Suka? Bluwek! Aku menyampah dekat kaulah, bos!
     " Bos suka menyakitkan hati saya. Saya tak suka bercakap dengan bos," jawabku jujur. Dia ketawa lepas.
     " Sebab tu aku suka cari jalan untuk bercakap dengan kau, even aku cari pasal kau tetap sabar melayan karenah aku! Beruntung siapa jadi suami kau, debab!" katanya. Uhuk-uhuk! Aku terbatuk-batuk kecil. Suami? Argh! Dia ni kan suka sangat cari pasal!
     " Bila bos nak bertunang?" aku mengubah topik. Dia tersenyum.
     " Kenapa? Nak jadi isteri saya? Boleh saya masuk meminang," jawabnya. Aku mencebik.
     " Tak naklah! Kalau saya kahwin dengan bos, hari-hari saya makan hati! Bos celupar, laser, takde perasaan punya orang! Ya Allah, cepat-cepatlah Kau temukan jodoh bos aku ni. Amin..," kataku sambil menadah tangan berdoa untuknya. Dia ketawa lalu bangun.
     " Kau belum kenal aku sepenuhnya lagi, debab!" katanya lalu ketawa.
     " Huh! Buat apa saya kenal bos sepenuhnya! Takde faedah! Dah, saya nak keluar, sambung kerja. Melayan bos buat kepala saya sakit!" kataku lalu berpaling untuk membuka pintu. Belum sempat tombol pintu dipulas, dia berdehem. Adoi! Apa lagi ni??
     " Saya akan bertunang hujung minggu ni, May!" katanya. Aku sengih, lalu aku menoleh.
     " Tahniah, amin! Bos tak boleh ganggu saya lagi, bos bakal jadi tunang orang. Selamat lah kau, May oii!" kataku riang pada diri sendiri lalu aku cepat-cepat keluar. Malas nak dengar apa lagi yang dia nak bebel. Sebaik saja pintu ditutup, aku menjerit, 'Yes!!'' Nadia dan Aziah berpandangan. ' Buruk beno kelaku minah ni aih,' mungkin itu yang difikir Nadia.
                                   *************************************************************
     Hari ini aku balik lewat lagi, yang tinggal cuma aku dengan Zatul. Minah ni buat kerja sambil mengunyah kudapan, tapi tak debab macam aku. Aku yang tak mengunyah ni jugak naik badan. Untung betul ada badan macam dia.
     " Zatul, kenapa hari ni kau balik lewat?" soalku. Zatul menoleh dengan sekeping biskut di mulutnya. Ya Rabbi, buruk betul perangai!
     " Hah? Oh, Khamis ni aku kena turun padang, bak kata bos lah kan?" jawabnya, sengih.
     " Khamis? Dengan siapa? Area mana?" soalku.
     " Dengan Hanis, area Kota Damansara dengan Damansara. Kenapa?" soalnya.
     " Syoklah kau, dapat area kecik! Aku sekali dapat, nah, besar! Makan pun tak habis!" kataku semula.
     " Kau dapat besar pun, kau satu tempat. Aku ni dua tempat. Kira adil la tu kan?" soalnya. Aku mengangguk. Ye tak ye jugak! Sama je keluasan nak tawaf tu. Ceh!
     " Kenapa Hanis tak stay back?" soalku kembali.
     " Hanis buat data untuk Kota Damansara, dah siap pun. Fail dia ada dalam bilik bos! Fail aku ni je yang belum siap!" katanya. Oh, patutlah tak nampak kelibat Hanis.
     " Zatul, make sure esok kau remind Hanis ambik fail tu lepas bos sain. Jangan korang jadi macam Zain pulak! Tak pasal-pasal dengar ceramah bebas! Haha," kataku lalu kami ketawa. Akhirnya kami menyambung kerja semula.
     " Korang berdua tak nak balik ke?" soal Adam yang dari mana datangnya, membuatkan Zatul terlepas pen ke atas meja. Zatul ni cepat terkejut. Kami menoleh melihat Adam berdiri di sebelah meja Zain. Dia memandang kami dengan muka serius.
     " Allah, bos oii! Boleh gol cepat macam ni," kata Zatul sambil mengurut dadanya. Aku cuma tersengih.
     " Yelah, saya tengok lampu meja masih terpasang! Jam dah dekat pukul 9 malam. Hari-hari balik lewat, suami tak marah ke?" soal Adam. Aku mengerutkan kening. Suami? Dia ni tak habis-habis buka topik suami-isteri. Kemaruk sangat dah kot? Gatal jugak bos aku ni!
     " Alah, bos macam tak tahu semua staff bos kan bujang-bujang lagi," perli Zatul. Aku cuma memandang ke arah Adam.
     " Sebab saya tahulah saya bertanya. Kalau dah kahwin esok?" soalnya kepada Zatul tapi matanya memandang ke arahku. Senget! Aku pulak dipandangnya.
     " Kalau dah bersuami, saya balik awallah bos oii! Tak kan nak balik lewat pulak? Silap haribulan, suami hantar tilam bantal datang ofis," jawab Zatul separuh bergurau.
     " Saya ni nak balik macam mana?" soalku sambil menjeling. Adam tersengih.
     " Oh, lupa pulak! Haha! Pandailah awak, Zatul! Dah, kemas meja, sambung kerja esok. Masih ada banyak masa lagi. Saya nak tutup ofis dah ni," katanya lalu berjalan menuju ke biliknya. Kami cepat-cepat mengemas semua fail lalu menutup komputer riba, dan terus mencapai beg. Seketika kemudian, Adam keluar membimbit begnya dan kot. Kami bertiga keluar beriringan.
     Sampai saja di parkir kereta, kami berpisah dengan Zatul kerana dia parkir di luar kawasan pejabat. Aku dengan Adam beriringan ke kereta BMW yang terletak di parkir yang biasa.
     " Bos, nak tanya sikit, boleh?" soalku. Dia menoleh.
     " Tanyalah!" jawabnya.
     " Bakal wife bos tu tak kisah ke pakai cincin guna saiz jari saya?" soalku. Dia tergelak.
     " Kau nak tahu tak? Dia pun debab macam kau," selamba je Adam menjawab. Aku terus terdiam. Patutlah nak pinjam saiz jari aku, sama saiz rupanya. Haha, perli aku lagi! Kan dah dapat pun saiz aku jugak! Aku tersenyum sendirian. Adam yang menyedari terus berdehem.
     " Kau ketawakan aku ye?" soalnya, dan senyumanku mati.
     " Mana ada?" aku menafikan. Padahal dalam hati aku ni bukan main ketawa kuat. Sampai saja di kereta, aku terus masuk. Malas nak melayan dia. Start enjin, terus jalan. Aku rasa dia terkebil-kebil bila aku bagi jawapan selamba macam tu. Hahah, jahatlah kau ni, May! Aku terus melayan perasaan sehingga sampai ke rumah.
                         ******************************************************
     Aku bergegas keluar bilik air apabila telefon nada dering Syurga Di Telapak Kaki Ibu nyanyian Aishah, menjerit-jerit. Hoh, Puan Jamilah ni. Tak menyabo! Tergopoh-gopoh aku menjawab panggilan mak.
     " Assalamualaikum, Maysarah!" suara emak kedengaran.
     " Waalaikumsalam, mak! Sorry orang lambat jawab, orang tengah mandi," jawabku.
     " Hai, mandi malam-malam begini? Kamu biar betul!" soal emak. Aku mengesat rambut yang masih basah.
     " Yelah, mak! Orang baru balik kerja, baru je sampai!" jawabku sambil duduk di atas katil.
     " Hari-hari balik lewat, esok dah berlaki jangan dibuat perangai ghope itu," kata emak. Aku membuat muka bosan.
     " Yelah, mak! Orang tahu," jawabku perlahan.
     " Ni, hah! Mak ada hal nak bincang dengan kamu ni," kata emak. Aku berhenti mengesat rambut. Huh, saspen je mak ni!
     " Apadia, mak?" soalku.
     " Kamu ingat tak kamu pernah kata kat mak, yang kamu serahkan pada mak soal jodoh kamu kan?" soal mak. Aku terkedu, menunggu sambungan bicara emak.
     " Ada satu keluarga dari jauh, telefon mak, merisik kamu petang tadi. Hajat nak meminang kamu untuk anaknya. Mak ni fikir dah kamu cakap macam tu dulu, jadi mak terima sajalah! Kalau nak tanya kamu tu sampai mak pejam mata pun belum tentu kamu nak berlaki. Jadinya sekarang ni kamu rasa macam mana?" soal emak. Aku menggaru-garu kepala yang baru dicuci. Adeh!
     " Dari mana, mak?" soalku.
     " Kedah, kalau mak tak silap. Senang nak balik kampung, satu hala je," jawab emak. Aduh mak ni! Ke situ pulak difikirnya.
     " Dah tetap hari ke belum?" soalku.
     " Belum lagi, tunggu kata putus dari anaknya. Kamu jangan risokan orang tu, yang mak nak tahu ni, kamu macam mana? Setuju ke?" soal emak. Aku terdiam, merenung pantulan diri aku dari dalam cermin solek.
     " Mak terima sajalah, mak!" jawabku lemah.
     " Eh? Apa pulak mak nak kena terima? Bukan mak yang nak kahwin! Kamu tu!" jawab emak separuh terkejut. Aku menepuk dahi.
     " Yelah! Orang setuju jelah! Tapi orang nak kena balik ke hari tunang tu nanti?" soalku.
     " Kena baliklah, sayang oi! Kalau macam tu nanti mak bagitahu keluarga dorang, nak pastikan tarikhnya bila. Betul ni kamu setuju seikhlas hati?" soal emak.
     " Ikhlas, mak! Dah mak carikan, orang terima ikhlaslah!" jawabku selamba.
     " Eh, bukan mak carikan, dorang tu cari kamu," jawab emak. Aku mengerutkan kening. Cari aku? Kenal aku ke? Eh, aku kenal ke?
     " Mak, orang kenal ke budak tu?" soalku.
     " Entah! Kata mak budak tu, anak dia kenal kamu. Tapi kamu tak perasankan dia, kata emaknya. Allah, nama pun mak lupa nak tanya," jawab emak sambil kedengaran dia menepuk dahinya. Terdengar suara abah aku membebel.
     " Takpelah, mak! Orang terima je dia. Kalau betul dia kenal orang, maknanya orang pun mesti kenal dia kan? Takpe, jangan risau. Hari bertunang nanti orang balik," jawabku.
     " Tak kisahlah dia siapa pun, acik! Abah tengok keluarganya dari orang baik-baik," kata abah dari tepi emak. Tu kes berebutkan handphone yang tak berapa nak canggih lah tu! Aku nak belikan satu untuk mak, dia tak nak! Sudahnya handphone abah jugak dikeleknya. Takde chance nak main game, bak kata abah! Haha. Aku mengumam.
     " Takpelah, mak! Orang terima pinangan dia," jawabku. Malas dah nak tanya siapa orang tu, dok mana, kerja apa. Kalau bagi mak abah dah okey, bagi aku pun okeylah!
     " Hurm, takpelah kalau macam tu. Ini kira jadilah ye," kata emak. Aku mengangguk tapi mak bukan nampak pun.
     " Diam je tu?" terdengar suara emak mengekek-ekek ketawa. Lah! Ke situ pulak mak ni!
     " Ye, mak! Kira jadi! Apa mak ni? Ingat zaman P.Ramlee ke nak kias-kias bagai? Huh!" aku menjawab tapi sakit pulak hati rasanya bila dengar mak dengan abah ketawakan aku.
     " Alhamdulillah. Nanti mak sampaikan jawapan kamu! Tidurlah, nanti apa-apa hal mak telefon kamu lagi. Assalamualaikum," kata emak.
     " Hurm, yelah! Waalaikumsalam," jawabku lalu mematikan talian. Sebaik saja aku letak telefon di atas katil, aku bangun dan membalut tubuhku dengan selimut. 'Mak, orang tak percaya yang orang kena pinang! Orang dah nak bertunang,' hatiku menjerit. Tapi aku tak pasti apakah perasaan yang bermain dalam hati aku saat ini. Excited tapi seronok terkinja-kinja macam orang sewel. Hahah! Pantas aku naik atas katil lalu berbaring.
     Teringat aku kata-kata Adam. Dia mendoakan aku supaya cepat dapat jodoh, dan akhirnya aku pun bakal mengikut jejak langkah dia. Haha! Thanks, bos! Prayed for me! Tak sangka secepat itu pulak jodoh datang! Huh, macam tak percaya je! Aku cuba memejamkan mata untuk tidur namun kerana terlalu teruja, maka aku dah siap berangan-angan untuk mencari baju tunang. Wah! Excited giler! Macam ni rupanya perasaan Nadia masa nak bertunang dulu. Hehe!
     Dalam tak sedar, akhirnya aku terlelap bersama mimpi indah!
                              **************************************************************
     Adam Usyair yang duduk di tangga atas, tersenyum apabila mendengar setiap butir bicara ibunya dengan bakal ibu mertuanya. Lampu hijau! Hatinya bersorak gembira. 'Rasa macam nak lompat-lompat kat tangga ni je,' hatinya menjerit. Dia tidak menyedari gelagatnya diperhatikan adiknya dari arah biliknya.
     " Abang Adam ni kenapa? Buang tabiat?" soal Alya Nazirah. Terkedu Adam lalu dia tersengih malu.
     " Tak baik dengar perbualan orang lain," ibunya menyindir dari tingkat bawah. 'Hah! Umi tahu aku mengendap! Adeh, malunya!' hatinya ketawa. Perlahan-lahan dia menapak naik lalu menuju ke biliknya manakala Alya sudah mengekek ketawa sambil turun ke tingkat bawah. Puan Sri Sabrina dan Tan Sri Ghazali memandang ke tingkat atas lalu mereka berdua senyum sesama sendiri.
     " Gelagat anak bujang awak tu teruk betul!" sindir isterinya.  Tan Sri Ghazali ketawa. Hai, Adam Usyair. Macam-macam hal!

Tiada ulasan: