24 Ogos 2011

KiSaH hAtI ~ 6

    Nia Aryana sedang menyerika baju untuk dia ke pejabat esok. Sambil membetulkan baju kurung yang tergantung, fikirannya kembali menerawang.

    " Hai, baju dah lawa tergantung pun masih nak betulkan lagi?" sergah Ariff Haikal dari belakang. Terperanjat Nia Aryana lalu dia menampar lengan suaminya dengan kuat. Mengekek-ngekek Ariff Haikal ketawa, sambil melompat ke atas katil. Nia Aryana sudah bercekak pinggang.

    " Abang ni kan? Kalau Nia ada sakit jantung, macam mana? Tentu dah mati!" marah Nia Aryana. Ariff Haikal cuma tersengih-sengih sambil menepuk-nepuk bantal tidurnya.

    " Nia jangan risaulah! Abang yang akan mati dulu," kata Ariff Haikal selamba. Terbeliak mata Nia Aryana sekali dengan mulutnya yang melopong besar. Ariff Haikal ketawa lagi sambil menarik tangan isterinya untuk naik ke atas katil.

    " Apa abang ni..?" soal Nia Aryana sedikit sayu. Tidak suka sebenarnya dia dengan kata-kata suaminya tadi. Ariff Haikal mengusap belakang tangan Nia Aryana.

    " Abang gurau jelah!" pujuk Ariff Haikal. Sebetulnya dia sendiri pun tidak tahu kenapa perkataan itu boleh keluar sedangkan dia tahu Nia Aryana tidak suka berbicara soal mati. Nia Aryana merapatkan badan ke arah suaminya. Ariff Haikal memeluknya, erat.

    " Nia tak suka abang cakap macam tu lagi. Nia tak boleh berpisah dengan abang," katanya.

    " Yelah. Abang mintak maaf ye? Lain kali abang tak cakap macam tu lagi," pujuk Ariff Haikal. Nia Aryana memeluk suaminya erat.

    Tetapi, sudah tiada lagi lain kali buat Nia Aryana apabila Ariff Haikal betul-betul telah meninggalkannya. Hiba hatinya mengenangkan suaminya dimarah malam itu. ' Nia tak sempat mohon maaf dengan abang. Nia harap abang maafkanlah Nia,' hatinya berbisik. Tersentak, terasa bahu disentuh. Pantas menyeka air mata yang bertubir di hujung mata. Dia menoleh. Kelihatan Haziq Irfan tersenyum.

    " Kak Nia," sapa Haziq Irfan lalu menyalami kakaknya. Nia Aryana mencium pipi adiknya.

    " Wah, bertambah kacak adik akak sorang ni. Takde ke makwe yang ikut balik?" usik Nia Aryana pada adiknya, membuang galau di hati. Haziq Irfan ketawa, dan tawanya membuatkan Nia Aryana terpaku. 'Ketawa serupa Ariff!' hatinya berbisik.

    " Merepeklah akak ni! Lama Haziq tunggu kat bawak, akak tak turun pun. Mak kata akak tidur. Tu yang Haziq naik ni," katanya sambil berlalu ke katil kakaknya. Nia Aryana tersenyum sambil menyerika tudung pula. Haziq Irfan memandang hairan.

    " Eh? Kak Nia dah start keje ke?" soalnya. Nia Aryana angguk.

    " Bila?" soalnya lagi.

    " Esok, sayang! Akak bukan tidur pun, sibuk menyerika baju ni. Angah datang tak?" soalnya.

    " Belum lagi. Kata mak, mungkin kejap lagi, datang dengan abang Fird, Afiqah dan Aiman. Rindu betul Haziq dengan budak berdua tu," Haziq Irfan menjawab sambil membaca novel kakaknya.

    " Oh, jadi Haziq tak rindulah mak, along, angah dengan akak ye?" usik Nia Aryana lagi. Haziq Irfan cuma ketawa. Ketawanya membuatkan Nia Aryana hilang seketika dalam dunianya.

    " Lagi Haziq rindu," katanya. Nia Aryana cuma tersengih. Tiada mood mahu berbual sebenarnya, tetapi mengenangkan adiknya baru pulang dari jauh, tidak sampai hati pula rasanya. Habis sahaja dia menyerika semua pakaian, menutup suis, dia mengajak adiknya untuk turun ke bawah.

    " Ingatkan akak nak suruh Haziq tidur," usik Haziq Irfan kepada kakaknya pula. Pantas Nia Aryana menampar lengan adiknya, lalu menarik tangannya supaya bangun dari katilnya.

    " Haziq turun dulu, akak nak mandi," Nia Aryana mencipta alasan. Haziq Irfan tersengih sambil melangkah ke pintu.

    " Patutlah dari tadi je Haziq rasa macam ada bau.. Hahaha... Tapi akak, tak elok mandi malam," nasihat Haziq di akhir ayatnya.

    " Banyaklah awak punya bau! Dah, keluar! Turun dulu, nanti akak turun," kata Nia Aryana sambil menolak adiknya keluar dari bilik. Sebaik saja pintu tertutup, dia bersandar di pintu. Kemudian menapak perlahan-lahan ke arah katilnya lalu merebahkan badan. Kepalanya pusing seketika. Mungkin kerana wangian yang dipakai Haziq Irfan atau dia masih belum mandi. Hampir saja dia termuntah namun yang keluar cuma angin.

    Baru saja dia ingin melangkah kaki ke bilik air, telinganya berdengung, dan kepalanya terasa berpusing dengan kuat. Dia rebah di depan pintu bilik airnya. Pengsan tiba-tiba.

                                                *****************************************
    " Eh, mak? Mana Nia? Tak turun-turun dari tadi?" soal Amy Haryani sambil menghidangkan nasi. Haziq Irfan yang sedang bergurau dengan Aiman, menyampuk.

    " Tadi kak Nia kata nak mandi," katanya. Puan Hawa dan Amy Haryani berpandangan.

    " Mandi? Mandi apa lama sangat? dah dekat sejam, tak siap-siap lagi ke?" soal Amy Haryani. Dia seakan mahu membebel kerana adiknya membuat bising bersama anak bongsunya. Puan Hawa menjegil mata.

    " Angah naik panggil dia," kata Puan Hawa. Amy Haryani mengesat tangan lalu menapak naik ke tingkat atas rumah. Sebaik sampai di depan bilik adiknya, dia memanggil.

    " Nia..oh, Nia! Tak habis lagi ke kamu mandi?" jerit Amy Haryani sambil tangannya mengetuk-ngetuk pintu bilik Nia Aryana. Dia sedikit pelik. ' Kata mandi, tapi tak dengar bunyi air pun? Bunyi mp3 laptop dia pun takde,' dia mengomel sendiri. Setahunya, kalau Nia Aryana mandi, dia mesti memasang lagu dari laptopnya. Tapi Amy Haryani tidak mendengar apa-apa kecuali sunyi. Lantas dia mengambil keputusan untuk masuk.

    " Nia....?" panggil Amy Haryani perlahan sambil matanya liar mencari kelibat adiknya. Dia menapak masuk lalu membuka lampu bilik. Sebaik saja lampu terpasang, dia memandang susuk tubuh yang terbaring lesu di depan pintu bilik air.

    " Mak!! Nia...!!" jeritnya nyaring lalu menerpa ke arah Nia Aryana. Panik!

10 Ogos 2011

KiSaH hAtI ~ 5

    Pagi Ahad yang mendamaikan. Nia Aryana bangun awal hari itu. Selesai mandi dan bersolat subuh, dia terus turun ke dapur. Tercengang Puan Hawa tatkala melihat wajah anaknya. Sedikit hairan namun dia menguntum senyum.

    " Selamat pagi, mak!" tegur Nia Aryana. Puan Hawa mengangguk sambil tersenyum.

    " Ai, mak! Asyik senyum je? Ada apa-apa ke yang Nia tak tahu ni?" usik Nia Aryana. Puan Hawa tergelak lalu menyiapkan sarapan pagi. Nia Aryana membantu yang mana patut.

    " Ish! Takdelah! Kamu ni, suka sangat mengusik mak ye," perli Puan Hawa, sambil menarik rambut panjang anaknya yang diikat ekor kuda. Mengekek Nia Aryana ketawa. Selesai menyiapkan sarapan pagi, mereka berdua menunggu Amy Haryani dan Naufal Haqim di meja makan.

    " Eh? Awal pulak adik kita hari ni?" soal Naufal Haqim sambil menarik kerusi. Amy Haryani mencedok nasi goreng ke dalam pinggan abangnya. Nia Aryana menjeling abangnya sambil menyuap makanan. Amy Haryani duduk lalu menyiku abangnya.

    " Along ni, pagi-pagi jangan cari pasal," amaran Amy Haryani. Puan Hawa tergelak.

    " Mak, esok Nia dah mula keja balik," perlahan-lahan Nia Aryana menuturkan ayat itu. Puan Hawa tidak terperanjat. Sedari semalam dia sudah mendengar perbualan antara Nia Aryana dengan bosnya di telefon. Dia meminta supaya cuti yang dilanjutkan dibatalkan. Hatinya mengucapkan syukur. Cuma Naufal Haqim dan Amy Haryani tercengang sekejap.

    " Aaa??? Biar betul?" soal Amy Haryani. Dia belum yakin yang adiknya sudah mendapat semangat untuk bekerja semula. Namun cepat-cepat Puan Hawa mengangguk. Fahamlah dia, ini tentu atas nasihat Azreen.

    " Betul la, angah!" katanya.

    " Ha, baguslah! Angah dah boleh balik rumah dengan rasa tenang. Kesian kat abang ngah kamu. Dah dekat 3 bulan jumpa angah kejap-kejap je," kata Amy Haryani sambil tersengih. Nia Aryana ketawa. Fahamlah dia yang kakaknya sudah berumahtangga perlu mengutamakan keluarga tapi abang iparnya baik hati mengizinkan kakaknya pulang menemaninya. Kalau orang lain, tentu hari-hari dah berperang dengan kakaknya itu.

    " Nia mintak maaf yer, Nia dah susahkan semua orang," katanya perlahan. Puah Hawa ketawa.

    " Takde apa yang Nia nak mintak maaf. Mak dengan along dan angah sayangkan Nia. Kami buat semua untuk pulihkan semangat Nia," kata Puan Hawa. Naufal Haqim tersengih.

    " Dah selesai satu bab, ni bab along pulak! Lepas ni Nia bolehlah temankan mak pegi merisik Kak Irda," tersengih-sengih anak bujang Puan Hawa. Terperanjat Nia Aryana. Abangnya jatuh hati pada kakak angkatnya, Irdani. Seketika kemudian dia turut tersenyum.

    " Nia takde masalah. Along pegi cari cincin. Nanti kami ajak abang Firdaus dengan angah temankan kami," usik Nia Aryana pula. Mereka ketawa.

    " Lepas makan ni angah nak balik rumah, ye mak? Kesian Afiqah dengan Aiman. Tak tahu lah macam mana abang Fird handle budak-budak tu," kata Amy Haryani. Puan Hawa mengangguk.

    " Suruhlah Fird datang sini dulu makan tengahari sama. Bawak cucu-cucu mak tu. Rindu pulak mak dengan dia orang," kata Puan Hawa. Amy Haryani mengangguk.

    " Nanti angah call abang Fird. Tapi lepas Afiqah balik dari taska baru boleh datang. Kalau tak nanti sibuk Aiman meraung nak balik jugak," cerita Amy Haryani tentang kedua orang anak kecilnya.

    " Em, takpelah kalau macam tu. Nanti lepas makan ni mak nak ke pasar. Along bawak mak dengan Nia yer?" tanya Puan Hawa.

    " Along no hal jer. Eh, semalam adik call. Katanya dia nak balik petang ni. Along kena ambik dia kat terminal bas," kata Naufal Haqim. Wajah Puan Hawa kelihatan bercahaya. Rindu benar dia kepada anak lelaki bongsunya, Haziq Irfan yang menuntut di UUM, Kedah.

    " Ha, baguslah! Boleh mak masak lebih sikit untuk adik," kata Nia Aryana dengan perasaan gembira. Dia juga turut merindui adiknya, yang selalu memberi kata-kata perangsang melalui emel-emel yang dihantarnya. Semua menghabiskan sarapan pagi dengan gurau senda yang bahagia.

09 Ogos 2011

KiSaH hAtI ~ 4

    Dia termenung di atas katil. Masih terngiang-ngiang kata-kata Juliana pagi tadi. 'Mendoakan...sampai hati Julie mendoakan macam tu untuk Ariff. Kalau betul sayangkan Ariff, tak payahlah mendoakan yang tak baik. Sudahnya dia pun tak dapat. Confirm lepas ni Datin Hamimah lagi benci kat aku,' hati kecilnya mengomel. Penat duduk dia bersandar dengan anak patung Kitty dipeluknya. Kenangan Ariff Haikal ada bersama anak patung itu.

    Tiba-tiba, pintu dibuka dari luar. Matanya memandang sekilas, lalu kembali menatap mata Kitty. Puan Hawa datang menghampiri, lalu duduk di birai katil.

    " Nia, kawan Nia datang, ada kat bawah," katanya lembut. Sedaya upaya dia menjaga perasaan Nia Aryana yang baru saja terguris gara-gara kedatangan tetamu yang tidak diundang itu. Nia Aryana mendongak lalu menatap wajah ibunya.

    " Sape, mak? Kalau orang yang sama, Nia tak nak jumpalah!" katanya.

    " Ish, kalau Julie yang datang, mak sendiri yang akan hambat dengan penyapu,"seloroh Puan Hawa. Nia Aryana tergelak kecil, kemudian sepi.

    " Kawan ofis kamu, Azreen,"kata Puan Hawa. Nia Aryana meraup wajahnya seketika lalu bingkas bangun. Benar, sudah hampir 3 bulan dia mengambil cuti tanpa gaji. Mujur majikannya memahami kerana majikannya adalah seniornya semasa menuntut di universiti dulu. Dia mengikat rambut lalu membetulkan sedikit kedudukan bajunya, sebelum melangkah keluar. Puan Hawa menutup pintu.

    Kelihatan Azreen sedang membalas mesej ketika dia sampai di ruang tamu. Puan Hawa menuju ke dapur untuk membancuh minuman. Nia Aryana berjalan menghampiri Azreen.

    " Assalamualaikum, Rin," Nia Aryana memberi salam. Azreen sedikit terperanjat, namun pantas dia menjawab salam dan terus bangun. Memeluk erat sahabat baiknya sedari sekolah rendah. Kedua-dua mereka menangis. Suasana hening seketika. Puan Hawa terhenti di balik pintu dapur, melihat kehibaan dua sahabat itu.

    Azreen merenggangkan pelukan. Pantas dia mengusap air mata Nia Aryana. Kemudian mereka sama-sama ketawa.

    " Eii..buruknya kau menangis, Rin," kata Nia Aryana. Azreen tergelak.

    " Alah, kau pun sama, nak mengata aku pulak!"getus Azreen. Mereka berdua duduk di atas sofa dan saling tersenyum. Puan Hawa keluar menatang minuman.

    " Minumlah, Rin. Makcik takde buat apa-apa pun, air je,"kata Puan Hawa.

    " Buat apa susah-susah,makcik. Saya baru lepas minum sebelum ke sini,"kata Azreen. Pehanya ditepuk Nia Aryana lalu dicubit. Azreen mengaduh kecil.

    " Mengada-ngada, kan mak? Macam tak biasa ke sini pulak!"omel Nia Aryana. Puan Hawa tergelak lalu dia meminta diri ke dapur, untuk memberi ruang kepada mereka bersembang.

    Azreen menghantar langkah Puan Hawa melalui ekor mata, dan dia kembali menatap wajah Nia Aryana. Tangan Nia Aryana digenggam erat.

    " Nia, kau macam mana sekarang?" soalnya. Nia Aryana mengeluh.

    " Aku macam yang kau tengoklah, Rin. Biasa je," jawabnya.

    " Balik keja, nak tak?"soal Azreen. Nia Aryana memandang wajah Azreen. Menggeleng.

    " Sampai bila kau nak menangisi kehilangan Ariff, Nia? Dia takkan kembali. Kalau kau pergi keja hilanglah sikit kesedihan kau. Lagi pun kami semua terlalu rindukan kau. Takde kau, ofis sepi lah, Nia. Bos kita pun aku tengok dah monyok je," terang Azreen. Nia Aryana melengung.

    " Aku takde semangat la, Rin. Betul ni," katanya. 

    " Aku boleh jadi semangat baru kau. Kalau kau tak nak, nanti aku mintak Faiz jadi semangat kau. Nak tak?" gurau Azreen. Nia Aryana tergelak.

    " Kau ni...budak baru habis SPM tu nak buat apa? Buat aku sakit jiwa je. Hahaha," lalu kedua mereka ketawa.

    " Masuk keja balik, Nia?" ajak Azreen lagi. Nia Aryana mendiamkan diri seketika.

    " Masuklah...meja kau sekarang dah 3 kali ganda bertimbun paperwork kau. Aku tak larat nak tengok. Nak tolong timbunkan lagi, boleh," usik Azreen. Nia Aryana menjeling.

    " Betul ke bertimbun, Rin?" soalnya tak percaya. Azreen angguk.

    " Helo, makcik! Kau cuti 3 bulan tau..bukan 3 minggu," Azreen mengingatkan. Nia Aryana tersenyum.

    " InsyaAllah, kalau takde apa-apa, minggu depan aku masuk. Nanti aku call bos dulu suruh dia cancel cuti yang dia dah bagi. Nanti kita havoc kan ofis, ye cik Azreen?" usik Nia Aryana sambil memeluk bahu Azreen.

    " Takde hal. Tapi lepas ni kau mesti cerita apa yang dah kau alami selama bercuti 3 bulan ni. Aku nak tau jugak kot-kot laa cerita kau thriller dari cerita Kak Emma. Hehehe," kata Azreen lalu dia ketawa.

    " Banyak lah kau punya thriller. Jom, makan tengahari kat sini," ajak Nia Aryana sambil menarik tangan Azreen menuju ke dapur. Azreen bangun lalu memeluk pinggang Nia Aryana. Mereka ketawa sama-sama. Puan Hawa yang memerhati dari tadi, menitis air matanya melihatkan Nia Aryana sudah boleh ketawa. Tak sia-sia Amy Haryani memberi cadangan untuk menelefon Azreen pagi tadi. Dia bersyukur. Lantas tidak mahu anaknya terperasan yang dia menangis, cepat-cepat dia ke bilik air.

                                             ***************************************
    Ariff Haikal mengusik isterinya yang sedang lena tidur. Dicuit berkali-kali hidung dan telinga Nia Aryana. Berkerut-kerut muka Nia Aryana menahan geli. Lantas ingin tahu apa yang mengganggunya, dia membuka mata. Terlihat Ariff Haikal sedang menongkat dagu sedang tersengih memandangnya.

    " Abang!" Nia Aryana mendengus.

    " Suka abang tengok muka sayang berkerut-kerut," jawab Ariff Haikal tanpa rasa bersalah. Nia Aryana menjegilkan matanya.

    " Suka? Sekarang dah pukul 4 pagi tau! Nia mengantuklah! Jangan usik," pinta Nia Aryana dengan muka seposen. Ariff Haikal ketawa lalu memeluk isterinya erat-erat. Nia Aryana kembali mengulit mimpi.

    " Mengantuk sangat! Macam lah esok dia keja," sindir Ariff Haikal dalam mata terpejam.

    " Nia dengar tu," omel isterinya. Ariff Haikal terkejut, lalu dia ketawa. Nia Aryana menolak badan suaminya lalu dia duduk.

    " Apa abang ni? Pukul 4 pagi ketawa macam apa lagi," marah Nia Aryana. Ariff Haikal kembali menarik isterinya ke dalam pelukan.

    " Abang ingatkan isteri abang dah sambung tidur," kata Ariff Haikal dengan sisa tawanya. Nia Aryana mendengus, lalu dia mencubit perut suaminya. Ariff Haikal mengaduh.

    " Cubitlah abang puas-puas, sayang! Nanti bila abang takde, rindu nak cubit pulak," usik Ariff Haikal lagi. Namun kata-kata itu kedengaran bukan sebagai gurauan di telinga Nia Aryana. Pantas dia mengusap-usap di tempat yang dia cubit tadi, lalu dia memeluk suaminya erat-erat. Dia takut kehilangan Ariff Haikal. Ariff Haikal ketawa lalu mencium dahi Nia Aryana.

                                             *********************************************
    " Abang!" Nia Aryana terjaga. Pantas dia memandang tempat tidiur di sebelahnya. Kosong! Dia meraba dahinya. Terasa seakan ada kesan kucupan dari suaminya. Lalu dia mengeluh. Sendu.

    " Abang datang jumpa Nia ke? Kenapa tak kejutkan Nia? Nia rindukan abang,"kata Nia Aryana perlahan. Tak semena-mena, air matanya kembali tumpah.

08 Ogos 2011

KiSaH HaTi~ 3

    Cahaya matahari pagi menerobos masuk ke bilik Nia Aryana melalui jendela yang terbuka. Perlahan-lahan dia bangun lalu melipat telekung. Lama dia bertafakur di atas sejadah, mendoakan kesejahteraan Ariff Haikal. Dia meletakkan telekung yang dilipat tadi di atas katil, lalu dia berjalan perlahan menuju ke jendela. Matanya memerhati panorama indah waktu pagi di luar rumah.

    Pintu bilik diketuk lalu dibuka. Amy Haryani masuk sambil menatang segelas susu di tangannya, dan dia meletakkan gelas itu di atas meja kecil. Amy Haryani duduk di birai katil.

    " Jauh termenung? Ingatkan sape?" soalnya. Nia Aryana menoleh lalu mengeluh. Dia berpaling lalu bersandar pada dinding.

    " Sape lagi yang Nia nak ingatkan, angah?" soalnya kembali. Amy Haryani tersenyum. Nia Aryana menapak perlahan menuju ke arah kakaknya lalu duduk bersama.

    " Nia macam tak redha je apa yang berlaku. Tak baik macam tu,dik. Dah hampir 3 bulan, lepaskanlah Ariff dengan ikhlas," pujuk Amy Haryani. Nia Aryana mengeluh lagi. Amy Haryani mencapai gelas susu lalu dihulurkan kepada adiknya. Nia Aryana menggeleng tapi dipaksa oleh kakaknya.

    " Nak menunggu awak minum susu memang tak terminum lah jawabnya," perli Amy Haryani. Gelas bertukar tangan,namun hanya dipegang oleh Nia Aryana, tidak diminum. Amy Haryani menaikkan kakinya ke atas katil, lalu bersila. Menanti bait-bait kata dari bibir mungil Nia Aryana.

    " Angah, Nia rasa macam kejap sangat Ariff bersama Nia. Baru 6 bulan kami bernikah, dia pergi tinggalkan Nia. Sedar tak sedar, dah hampir 3 bulan dia takde. Nia tak tahu adakah Nia mampu hidup tanpa dia disisi Nia," luah Nia Aryana. Amy Haryani tersenyum.

    " Kenapa Nia fikir Nia keseorangan? Nia ada mak, along, angah, achik. Kami semua ada untuk Nia. Dato' Zainal Abidin pun ada. Takkan Nia lupa pada bapa mertua Nia?" soal kakaknya. Nia Aryana tersengih.

    " Bukan macam tu, angah. Cuma Nia rasa Nia tak boleh kembali ke rumah tu buat dalam masa terdekat ni. Angah faham kan?" soal Nia Aryana. Amy Haryani mengangguk.

    " Betul. Tapi sampai bila?" soal kakaknya kembali. Dia diam menyepi. Masing-masing menanti kata. Tiba-tiba, Naufal Haqim menjengah, memerhati kedua adiknya yang tercengang melihatnya. Amy Haryani menjungkit kening seolah bertanya, kenapa?

    " Nia, ada orang nak jumpa Nia kat bawah," katanya. Nia Aryana menggeleng, tanda tidak mahu.

    " Turunlah, Nia. Along rasa Nia patut jumpa dia. Sekejap!" tukas Naufal Haqim dengan serius. Amy Haryani pelik, tetapi ditepuk-tepuk belakang adiknya, memberi semangat. Sudah hampir 3 bulan Nia Aryana asyik terperap dalam rumah tanpa mahu bertemu sesiapa.

    " Turunlah, Nia. Angah temankan. Jom!" kata Amy Haryani lalu dia bingkas bangun dan menarik tangan adiknya. Naufal Haqim memerhati si kakak memujuk adiknya.

    " Nia tak nak...," mengadu perlahan. Namun dipaksa juga oleh si abang. Akhirnya dia mengalah.

                                   ********************************************************
    " Awak nak jumpa saya?" soal Nia Aryana kepada seorang gadis yang membelakanginya. Sebaik saja gadis itu menoleh, Nia Aryana terpempan. Juliana! Gadis itu tersenyum. Nia Aryana menghampirinya.

    " Julie. Mana awak dapat alamat rumah saya?" soal Nia Aryana. Juliana duduk di kerusi bertentangan dengan bekas isteri kepada bekas kekasihnya, Nia Aryana.

    " Tak susah nak dapatkan alamat awak, Nia. Dengan Dato' atau Datin pun saya boleh mintak. Tapi saya tak nak panjangkan cerita dengan Datin, jadi saya mintak dengan secretary Ariff. Kenapa? Saya tak boleh melawat isteri bekas kekasih saya ke?" soal Juliana. Nia Aryana memandang ke arah taman rumah.

    " Bekas isteri!" terang Nia Aryana. Juliana tergelak. Nia Aryana memandang Juliana dengan pandangan yang jengkel. Namun sekilas dia menghakimi Juliana.

    Gadis ini tak lah seburuk yang digambarkan Ariff Haikal. Cuma penampilannya dirasakan tidak sesuai untuk bertandang ke rumah orang. Em, Ariff Haikal! Kalau sudah tidak suka tu semuanya buruk belaka.

    " Kejam sungguh pada siapa yang tidak beritahu saya yang Ariff dah pergi," keluh Juliana selepas dia berhenti gelak. Nia Aryana terkesima. Kejam? Tidak beritahu? Juliana tidak tahu? Mustahil!

    " Julie tak tahu? Mustahil!" ujar Nia Aryana, sinis. Juliana tersenyum tawar.

    " Selama saya di Paris, saya tak pernah berhenti berdoa agar kamu berdua berpisah supaya Ariff Haikal kembali kepada saya. Cuma,apa yang saya tidak menyangka, Ariff dan awak berpisah dengan keadaan yang sebegini. Dah lah tu, saya tidak diberitahu sehinggalah dua minggu lepas. Itu pun dari secretary Ariff," katanya. Menyirap darah Nia Aryana. Perempuan tak tahu malu ini mendoakan yang tidak baik terhadap hubungan mereka selama ini rupanya! Patut Ariff Haikal pergi dengan cara itu! Tapi, itukan ketentuan Allah. Janji Allah!

    " Tergamak awak?" soal Nia Aryana dengan suara yang ditahan-tahan. Juliana menjeling sekilas, lalu dia bangun sambil memeluk tubuh.

    " Ikutkan hati, saya patut menyalahkan awak kerana awaklah punca Datin kehilangan Ariff! Tapi saya bukan sekejam itu! Memang, saya kecewa bila Ariff menikahi awak tetapi hati saya puas bila awak juga turut kehilangan Ariff! Macam mana sakitnya saya rasa dulu kini awak pulak rasakannya. Betul tak, Nia?" sindir Juliana dengan angkuh. Tubuh Nia Aryana bergetar menahan marah dan tangis. Sedaya upaya dia tidak mahu menangis di depan perempuan murahan ini. Dia bingkas bangun.

    " Ya. Saya merasai betapa sakitnya kehilangan suami saya tapi kerana itu kehendak Allah! Bukan seperti awak yang kehilangan dia kerana kehendak dirinya sendiri. Dalam erti kata lain, saya lebih bertuah sebab berjaya bersama dia, bukan awak!" bidas Nia Aryana dengan tegas. Merah padam wajah Juliana bila disindir begitu.

    " Berani awak..!" dengus Juliana dengan geram.

    " Julie, sebelum saya melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya di rumah saya ini, saya mintak pada awak, tolong beredar! Sekarang!" kata Nia Aryana sambil membuka pintu rumahnya. Berasa diri dihalau, Juliana mencapai tas tangannya lalu berjalan keluar. Sebelum beredar, sempat dia menjeling seolah memberi amaran, 'tindakan awak ini akan mengundang lagi kemarahan Datin!' Namun tidak diambil peduli oleh Nia Aryana malah menolak tubuh kurus Juliana keluar terus dari rumahnya.

     Sebaik saja dia menutup pintu, dia terduduk lemah di lantai. Air mata yang tadi ditahan, tumpah jua akhirnya.

03 Ogos 2011

KISAH HATI ~ 2

   " Nia?" tegur Amy Haryani lagi. Nia Aryana mengeluh. Amy Haryani bersandar.

   " Nia tak boleh tidur la,angah. Terasa macam Ariff ada dalam bilik tu," katanya. Amy Haryani menoleh memandang wajah adiknya.

   " Nia, janganlah ikut sangat perasaan tu. Redha sajalah," pujuknya. Nia Aryana tersenyum.

   " Yang angah bangun ni kenapa? Tak boleh tidur jugak ke?" soalnya. Amy Haryani tersengih, lalu dia bangun.

   " Angah nak ke dapur la,minum. Terkejut tengok kau tercongok kat sini. Dah, pegilah tido. Ni kalau mak tengok pun dia bebel. Pegi tido," desak Amy Haryani lalu dia beredar menuju ke dapur. Nia Aryana mengeliat kemalasan, terus berbaring di sofa.

                                *********************************************
    Betapa bengangnya Nia Aryana apabila melihat Anis Emelda sedang enak duduk di katilnya sebaik saja dia keluar dari bilik mandi. Menjeling tajam Anis Emelda memandang ke arah adik iparnya itu.

   " Ada apa, kak Anis?" soal Nia Aryana sekadar berbahasa. Anis mendengus kasar, lalu bangun.

   " Ada apa kau tanya aku? Aku cuma nak ingatkan kau, kerana kau lah Julie merajuk sampai bawak diri ke Paris. Kau ingat aku dengan mama ikhlas ke terima kau dalam keluarga kami? Aku akan buat kau dengan Ariff berpisah! Itu janji aku pada Julie!" sebaik saja habis kata-katanya itu dia terus keluar,lalu menghempas pintu kamar pasangan pengantin baru itu. Terkedu Nia Aryana seketika. Anis Emelda tidak mengetahui yang adiknya masih berada dalam bilik mandi itu.

    Perlahan-lahan susuk tubuh Ariff Haikal muncul dari bilik mandi. Terkedu melihat Nia Aryana yang sedang duduk di birai katil,menangis hiba. Dia menghampiri isterinya lalu dipeluk erat. Dia tidak menyangka yang mama dan kakaknya tidak sudi dan tidak suka dengan pilihan hatinya.

   " Hina sangat ke Nia ni, abang?" soal Nia Aryana hiba. 

   " Ssyhh.....jangan cakap macam tu sayang. Abang sayang sangat dekat sayang seikhlas hati abang. Biarlah kalau mama dengan kak Anis tak boleh terima sayang tapi papa dengan yang lain masih terima sayang. Janganlah menangis lagi, sedih hati abang tengok sayang macam ni," kata Ariff Haikal sambil mengelap air mata isterinya yang mengalir. Teresak-esak Nia Aryana menahan sedan.

    " Tapi, Nia takut kalau kak Anis kotakan apa yang dikata," kata Nia Aryana. Ariff Haikal pantas menggeleng.

    " Jangan risaulah! Kak Anis tu gertak je lebih, dia takkan berani buat. Lagipun yang boleh memisahkan kita cuma ajal maut ketentuan Allah, bukan dia. Jangan risau,ye? Selagi abang masih hidup selagi itu abang akan menjaga sayang," kata Ariff Haikal lalu mencium dahi Nia Aryana. Mereka berpandangan lalu tersenyum.

                                         *****************************************
     " Haiii......," dia mengeluh lagi, lalu bangun menuju ke bilik tidurnya. Sebaik pintu dibuka, seakan-akan kelibat Ariff Haikal masih berbaring atas katil. Nia Aryana menapak masuk dan menutup pintu. Dia terus berbaring atas katil lalu memeluk bantal panjang kesukaan Ariff Haikal.

    " Abang, Nia sunyi tanpa abang. Kenapa abang tinggalkan Nia cepat begini?" soalnya sendirian. Namun pantas dia tersedar. 'Astaghfirullah...' hatinya beristighfar. Dia beralih sebelah kiri lalu memandang ke arah jendela yang terbuka. Memerhati ke arah langit yang hanya dihiasi beberapa butir bintang. Seakan terlihat wajah Ariff Haikal sedang tersenyum ke arahnya. Nia Aryana tersenyum sendirian lalu matanya kian tertutup.

    " Nia rindu abang. Nia sayang abang dan cintakan abang sampai akhir hayat Nia," katanya perlahan sebelum dia terlena mengulit kenangan dengan Ariff Haikal. Tanpa sedar, air matanya mengalir.


02 Ogos 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak !

Assalamualaikum...

Bertemu kita sekali lagi dalam bulan Ramadhan al-Mubarak,pada hari kedua puasa, di tahun 2011 ini..

Puasa kali ni aku tak rasa berapa meriah sangat sebab awal2 puasa lagi dah 'raya'..hahaha... Kain untuk buat baju raya pun tak beli lagi, kain langsir pun tak beli lagi.. Hai,tak tahulah nak pakai baju raya tema warna apa tahun nie..adik cadang warna pink (eeuuww....pink???never3!).

So decide punya decide..warna light purple. Abang kata biru atau hijau (tapi aku rasa dalam almari aku tu dah banyak baju kurung warna biru + hijau..). Tapi masalahnya...kain tak beli lagi...............huhuhu....

Haa....bahan-bahan untuk buat kuih raya pun tak beli lagi. Hai..nak tunggu gaji memang la lambat lagi..macam mana laa nak sambut raya tahun ni..rasanya buat kuih 'tunjuk' jelaa..nak buat memang tahap 'kerajinan' dah sangat nie..hahaha..

Apa2 pun, nanti kita bersambung di lain kali yer....aku nak prepare untuk siapkan menu berbuka puasa petang nie..dah siap nanti aku upload lah gambar yer...hehehe....menu masakan kampung baik punya....(arahan bapak aku jangan nak bangkang2!ikot jer..hehe).. Ok,nanti jumpa lagi... Salam...

SELAMAT BERBUKA PUASA SEMUA... =)