08 Ogos 2011

KiSaH HaTi~ 3

    Cahaya matahari pagi menerobos masuk ke bilik Nia Aryana melalui jendela yang terbuka. Perlahan-lahan dia bangun lalu melipat telekung. Lama dia bertafakur di atas sejadah, mendoakan kesejahteraan Ariff Haikal. Dia meletakkan telekung yang dilipat tadi di atas katil, lalu dia berjalan perlahan menuju ke jendela. Matanya memerhati panorama indah waktu pagi di luar rumah.

    Pintu bilik diketuk lalu dibuka. Amy Haryani masuk sambil menatang segelas susu di tangannya, dan dia meletakkan gelas itu di atas meja kecil. Amy Haryani duduk di birai katil.

    " Jauh termenung? Ingatkan sape?" soalnya. Nia Aryana menoleh lalu mengeluh. Dia berpaling lalu bersandar pada dinding.

    " Sape lagi yang Nia nak ingatkan, angah?" soalnya kembali. Amy Haryani tersenyum. Nia Aryana menapak perlahan menuju ke arah kakaknya lalu duduk bersama.

    " Nia macam tak redha je apa yang berlaku. Tak baik macam tu,dik. Dah hampir 3 bulan, lepaskanlah Ariff dengan ikhlas," pujuk Amy Haryani. Nia Aryana mengeluh lagi. Amy Haryani mencapai gelas susu lalu dihulurkan kepada adiknya. Nia Aryana menggeleng tapi dipaksa oleh kakaknya.

    " Nak menunggu awak minum susu memang tak terminum lah jawabnya," perli Amy Haryani. Gelas bertukar tangan,namun hanya dipegang oleh Nia Aryana, tidak diminum. Amy Haryani menaikkan kakinya ke atas katil, lalu bersila. Menanti bait-bait kata dari bibir mungil Nia Aryana.

    " Angah, Nia rasa macam kejap sangat Ariff bersama Nia. Baru 6 bulan kami bernikah, dia pergi tinggalkan Nia. Sedar tak sedar, dah hampir 3 bulan dia takde. Nia tak tahu adakah Nia mampu hidup tanpa dia disisi Nia," luah Nia Aryana. Amy Haryani tersenyum.

    " Kenapa Nia fikir Nia keseorangan? Nia ada mak, along, angah, achik. Kami semua ada untuk Nia. Dato' Zainal Abidin pun ada. Takkan Nia lupa pada bapa mertua Nia?" soal kakaknya. Nia Aryana tersengih.

    " Bukan macam tu, angah. Cuma Nia rasa Nia tak boleh kembali ke rumah tu buat dalam masa terdekat ni. Angah faham kan?" soal Nia Aryana. Amy Haryani mengangguk.

    " Betul. Tapi sampai bila?" soal kakaknya kembali. Dia diam menyepi. Masing-masing menanti kata. Tiba-tiba, Naufal Haqim menjengah, memerhati kedua adiknya yang tercengang melihatnya. Amy Haryani menjungkit kening seolah bertanya, kenapa?

    " Nia, ada orang nak jumpa Nia kat bawah," katanya. Nia Aryana menggeleng, tanda tidak mahu.

    " Turunlah, Nia. Along rasa Nia patut jumpa dia. Sekejap!" tukas Naufal Haqim dengan serius. Amy Haryani pelik, tetapi ditepuk-tepuk belakang adiknya, memberi semangat. Sudah hampir 3 bulan Nia Aryana asyik terperap dalam rumah tanpa mahu bertemu sesiapa.

    " Turunlah, Nia. Angah temankan. Jom!" kata Amy Haryani lalu dia bingkas bangun dan menarik tangan adiknya. Naufal Haqim memerhati si kakak memujuk adiknya.

    " Nia tak nak...," mengadu perlahan. Namun dipaksa juga oleh si abang. Akhirnya dia mengalah.

                                   ********************************************************
    " Awak nak jumpa saya?" soal Nia Aryana kepada seorang gadis yang membelakanginya. Sebaik saja gadis itu menoleh, Nia Aryana terpempan. Juliana! Gadis itu tersenyum. Nia Aryana menghampirinya.

    " Julie. Mana awak dapat alamat rumah saya?" soal Nia Aryana. Juliana duduk di kerusi bertentangan dengan bekas isteri kepada bekas kekasihnya, Nia Aryana.

    " Tak susah nak dapatkan alamat awak, Nia. Dengan Dato' atau Datin pun saya boleh mintak. Tapi saya tak nak panjangkan cerita dengan Datin, jadi saya mintak dengan secretary Ariff. Kenapa? Saya tak boleh melawat isteri bekas kekasih saya ke?" soal Juliana. Nia Aryana memandang ke arah taman rumah.

    " Bekas isteri!" terang Nia Aryana. Juliana tergelak. Nia Aryana memandang Juliana dengan pandangan yang jengkel. Namun sekilas dia menghakimi Juliana.

    Gadis ini tak lah seburuk yang digambarkan Ariff Haikal. Cuma penampilannya dirasakan tidak sesuai untuk bertandang ke rumah orang. Em, Ariff Haikal! Kalau sudah tidak suka tu semuanya buruk belaka.

    " Kejam sungguh pada siapa yang tidak beritahu saya yang Ariff dah pergi," keluh Juliana selepas dia berhenti gelak. Nia Aryana terkesima. Kejam? Tidak beritahu? Juliana tidak tahu? Mustahil!

    " Julie tak tahu? Mustahil!" ujar Nia Aryana, sinis. Juliana tersenyum tawar.

    " Selama saya di Paris, saya tak pernah berhenti berdoa agar kamu berdua berpisah supaya Ariff Haikal kembali kepada saya. Cuma,apa yang saya tidak menyangka, Ariff dan awak berpisah dengan keadaan yang sebegini. Dah lah tu, saya tidak diberitahu sehinggalah dua minggu lepas. Itu pun dari secretary Ariff," katanya. Menyirap darah Nia Aryana. Perempuan tak tahu malu ini mendoakan yang tidak baik terhadap hubungan mereka selama ini rupanya! Patut Ariff Haikal pergi dengan cara itu! Tapi, itukan ketentuan Allah. Janji Allah!

    " Tergamak awak?" soal Nia Aryana dengan suara yang ditahan-tahan. Juliana menjeling sekilas, lalu dia bangun sambil memeluk tubuh.

    " Ikutkan hati, saya patut menyalahkan awak kerana awaklah punca Datin kehilangan Ariff! Tapi saya bukan sekejam itu! Memang, saya kecewa bila Ariff menikahi awak tetapi hati saya puas bila awak juga turut kehilangan Ariff! Macam mana sakitnya saya rasa dulu kini awak pulak rasakannya. Betul tak, Nia?" sindir Juliana dengan angkuh. Tubuh Nia Aryana bergetar menahan marah dan tangis. Sedaya upaya dia tidak mahu menangis di depan perempuan murahan ini. Dia bingkas bangun.

    " Ya. Saya merasai betapa sakitnya kehilangan suami saya tapi kerana itu kehendak Allah! Bukan seperti awak yang kehilangan dia kerana kehendak dirinya sendiri. Dalam erti kata lain, saya lebih bertuah sebab berjaya bersama dia, bukan awak!" bidas Nia Aryana dengan tegas. Merah padam wajah Juliana bila disindir begitu.

    " Berani awak..!" dengus Juliana dengan geram.

    " Julie, sebelum saya melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya di rumah saya ini, saya mintak pada awak, tolong beredar! Sekarang!" kata Nia Aryana sambil membuka pintu rumahnya. Berasa diri dihalau, Juliana mencapai tas tangannya lalu berjalan keluar. Sebelum beredar, sempat dia menjeling seolah memberi amaran, 'tindakan awak ini akan mengundang lagi kemarahan Datin!' Namun tidak diambil peduli oleh Nia Aryana malah menolak tubuh kurus Juliana keluar terus dari rumahnya.

     Sebaik saja dia menutup pintu, dia terduduk lemah di lantai. Air mata yang tadi ditahan, tumpah jua akhirnya.

Tiada ulasan: