Malamnya selepas tolong saudara-mara mengemas rumah, aku duduk berbual dengan mereka semua di ruang dapur. Suasana tidak seriuh petang tadi namun cukup gamat apabila adik beradik emak dan abah turut serta. Kemudian terdengar gelak ketawa abah dan angah dari arah luar dapur.
" Kenapa abah tu, mak?" soalku sambil mengintai-intai. Emak tergelak.
" Apa lagi, mendera suami kamu cuci kawahlah!" sampuk makteh. Aku tergelak, kuat. Pantas saja tangan Nadia mencubit peha aku yang gebu ini. Cewah!
" Ni, si pengantin perempuan, kome tak nak panggil cuci periuk besar tu ke?" jerit makngah dari pintu dapur. Muka aku terus gelabah, lantas menggeleng. Tak nak..penat! Kemudian angah menjengah.
" Meh turun! Kesian laki kamu kena buli sorang-sorang," perli angah. Aku menjeling namun tidak juga bangun. Benci betul! Tu lah, masa along dengan abang long kena sental periuk belanga kawah, kemain lagi aku ketawa tergolek-golek dengan ateh kat atas rumah. Bila tiba giliran aku, macam mana nak elak ni?? Nak menangis rasanya apabila isteri angah, kak ngah datang menarik tanganku, dan si Nadia bersemangat menolak aku dari belakang. Cis! Dia membelot aku rupanya! Dengan berat hati aku keluar menuju ke ruang masak di luar.
Alahai..kesian suami aku. Muka dah berceloreng arang. Kah kah kah! Aku ketawa lepas. Abah menjeling dan angah menyerahkan berus dawai dan sabut kepada aku.
" Apa gelak-gelak? Tu, yang besar sedia menanti kamu," tunjuk angah kepada aku, 2 biji periuk besar yang sudah direndam air. Huh, tak aci betul! Si Adam diberi sebiji periuk saja. Aku berjalan menuju ke periuk besar, lalu duduk atas tunggul kayu mati. Tangan aku terus mencapai sebiji periuk lalu mula menyental bahagian dalam sedikit demi sedikit.
" Kamu basuh berdua, abah masuk dulu. Jangan main air lama-lama, nanti kecut!" perli abah lalu dia dan angah masuk ke dalam rumah. Aku hanya memandang melalui ekor mata dan dari dapur aku terdengar riuh mereka bercerita. Kemudian pandangan aku berpaling memandang Adam, yang bertungkus-lumus membersihkan periuk gulai itu. Dia memandang aku lalu tersenyum.
" Kenapa?" soalku seakan tak puas hati. Perli akulah tu!
" Seronok ada teman mencuci kawah besar ni," katanya. Aku menyambung kerjaku.
" Huh! Seronok mende? Kalau satu dua takpelah, ini empat biji. Ini mau sebaldi peluh keluar!" bebelku. Dia tergelak.
" Okeylah tu! Dapat mengecilkan bumper kau yang lebar tu. Haha!" Amboi! Sukanya dia kalau dapat gelakkan aku! Aku menyental periuk dengan geram.
" Amacam? Best kena sental periuk belanga ni?" perli aku. Dia senyum.
" Best jugak! Dapat keluarkan peluh!" jawabnya lalu ketawa. Eeii, dia ni kan, tak habis-habis nak menyakat aku! Benci!
" Yelah, suasana menyental periuk belanga ni mana nak ada kat bandar. Kat bandar tu semuanya pakai katering saja. Pengantin cuci tangan je nak makan. Kat kampung je yang masih guna gotong-royong. Anak orang kaya macam awak ni tak tahulah boleh sesuaikan diri dengan suasana kampung macam ni," jawabku panjang lebar. Mataku menjeling ke arahnya yang terus mencuci periuk tanpa sebarang keluh.
" Aku memang anak orang kaya, tapi yang kaya tu bapak aku!" jawabnya.
" Memanglah! Tapi awak tetap anak orang kaya!" aku membalas. Dia berhenti membasuh lalu menoleh memandangku. Aku pura-pura tidak nampak.
" Apa masalahnya ni, debab? Aku tak nampak kat mana salahnya kalau aku anak orang kaya. Atau kau menyesal aku jadi suami kau?" soalnya merendahkan suara. Seperti selalu juga, bunga-bunga pertengkaran mulai bercambah. Aku memandangnya. Terasa hatiku sakit.
" Siapa yang mula punca semua ni?" soalku, menahan getar marah. Dia diam, dan terus menyental periuk. Sepatah perkataan tidak kedengaran.
" Saya tanya ni, Adam Usyair! Siapa yang mulakan semua ni?" soalku. Dalam dada, aku menahan getaran yang amat hebat. Marah, sakit hati dan sedih bersatu. Melihatkan dia hanya mendiamkan diri, aku mencampakkan berus ke dalam periuk yang aku basuh, lalu aku terus bangun. Dia tercengang, lalu menoleh.
" Saya tak pernah bermimpi untuk jadi isteri awak, Adam! Tapi dari dulu awak selalu buat saya sakit hati dengan semua tindak-tanduk awak tu! Awak tahu tak, berapa kali saya tolak lamaran awak sebab saya tak pernah ada perasaan cinta, apatah lagi sayang pada awak! Yang ada cumalah benci! Awak faham tak? Benci!" aku menghamburkan segala amarah yang terpendam dalam hati, dan tanpa sedar air mataku mengalir. Ini aku tak tahulah kali ke berapa aku menangis kerana dia. Baru dia ingin membuka mulut, terasa bahuku disentuh seseorang. Aku pantas berpaling ke arah lain bagi mengelakkan orang itu tahu yang aku menangis.
" Pergilah naik, berehat. Biar angah sambung mencuci periuk kamu," pujuk angah. Tanpa menunggu lama, aku membasuh tangan lalu terus berlalu masuk ke rumah, terus ke bilik.
Adam melihat angah lalu sambung menyental periuk. Angah duduk di sebelahnya, dan terus menyambung kerja adiknya sebentar tadi. Terdiam tatkala mendengar luahan adiknya.
" Angah tak nak tahu apa masalah kamu berdua. Angan lebih kenal adik angah sebagai adik, dan kamu lebih kenal dia sebagai staff kamu. Apa jua masalahnya, ada penyelesaian. Apa yang May cakap tadi tu, kamu kena kaji balik. Memang susah angah nak tengok dia marah orang, tapi kali ini angah rasa kamu dengan dia kena bawak berbincang. Siapa pun yang mula punca masalah, akui je. May marah sekejap, nanti dia sejuklah! Tapi pendamnya tu lamalah sikit. Kamu kena banyakkan bersabar," ujar Mazzuan dengan panjang lebar. Adam terdiam sambil berfikir. 'Hah, gaduh lagi dengan adik dia! Kan aku dah kena tazkirah! Padan muka aku!' hatinya mengomel.
" Memang saya kerap buat dia sakit hati, tapi sekadar di luar jelah, angah! Tak pernah berlanjutan pun. Tak sangka dia marah sebab ini. Satu hal pulak, saya meminang dia tanpa pengetahuan dia langsung," kata Adam. Mazzuan mengeluh.
" Kamu sebagai suami, kena banyak membentuk dia. Jangan terlalu kerap buat macam tu, silap haribulan dia naik hantu, kamu jugak yang susah. Apa yang terjadi tadi jangan sampai ke pengetahuan abah dengan mak. Tak baiklah, baru sehari jadi suami isteri, korang bergaduh besar sebab hal yang remeh-temeh," Mazzuan menasihati.
" Saya akan cuba memperbaiki hubungan kami, angah. Saya akan jaga hati dia, saya akan bimbing dia, saya akan sabar dengan setiap perangai dia. Sebab saya terlalu cintakan dia, angah," kata Adam dengan jujur. Mazzuan tersenyum lalu menolak bahu Adam dengan bahunya.
" Macam tulah nak jadi lelaki! Kena beralah dengan perempuan, ambil hatinya dan sabar dengannya. Tengok nanti bagaimana dia cair sebab kesabaran kamu. Jangan buat dia menangis lagi, okey? Adik angah tu manja-manja nakal! Dah, habiskan yang itu je, yang lain esok pagi angah kerahkan Lan dengan Zaid basuh," kata Mazzuan lalu mereka ketawa.
" Thanks, angah, kerana memberi nasihat pada saya," tukas Adam, sambil memandang abang iparnya. Mazzuan tersengih. Mereka menghabiskan basuhan.
Aku sudah tersedu sedan sambil meniarap. Aku tak tahu kenapa aku marah sangat dekat dia sedangkan dia sudah menjadi suami aku. Sakit hati makin terasa bila kenangkan yang kami bertunang tanpa pengetahuanku, sedangkan dia tahu aku sering kali menolak lamaran dia. Nak kata tak faham bahasa, belajar sampai ke London! Aku tak tahulah pulak kalau course yang dia ambik tu guna bahasa German selain Inggeris! Asyik mengata dia senget, kali ni aku rasa aku pulak yang jadi senget!
Aku mengiring ke kiri lalu mengesat air mata. Kedua-dua tanganku letak bawah pipi, dan memejamkan mata. Kepala aku terasa sakit lepas banyak menangis. Semalam menangis, hari ni menangis, bilalah dia ni nak buat aku ketawa pulak! Aku hampir terlelap apabila terdengar pintu bilik dibuka dan Adam masuk. Aku memejamkan mata, dan berpura-pura tidur. Terasa dia berbaring di sebelahku, namun aku kakukan diri. Aku menanti apa yang bakal berlaku.
" May, aku minta maaf," katanya perlahan. Mataku terbuka luas. Dia ni minta maaf? Huh, terasa macam mimpi pulak! Aku diam tidak bergerak. Terasa katil bergoyang, bila dia turut mengiring di belakangku.
" May, bukan niat aku nak buat kau sakit hati. Aku sayangkan kau, aku cintakan kau. Apa yang aku katakan selama ni cuma berniat nak mengusik. Tapi kau jangan marah abah sebab nikahkan kau dengan aku. Ini semua sebab kemahuan aku, May. Aku sangat-sangat mencintai dirimu, dan aku terasa amat bahagia bila kau jadi isteriku. Maafkan aku andai kata ada kesilapan dari aku selama ini," katanya sambil jarinya bermain rambutku.
Aku terkedu. Dia cintakan aku? Biar betul dia ni? Masa bila semua ini terjadi? Baru saja Adam beralih, aku berdehem kecil.
" Kenapa awak selalu menyakitkan hati saya?" soalku. Dia menoleh ke arahku yang masih berada di posisi asal.
" Sebab.. aku nak kau bercakap dengan aku. Aku suka bila dengar mulut kau potpet- potpet bila dengan aku," jawabnya. Aku diam.
" Tapi kali ni aku rasa lain sangat sebab, lepas kita nikah, kau lebih banyak mendiamkan diri. Lepas tu, kau selalu mengelak dari bertembung dengan aku. Kenapa, May?" soalnya sayu. Aku pejam mata. Maafkan aku, wahai suami! Aku masih belum dapat terima yang kau adalah suamiku.
" Saya minta maaf, bukan sengaja nak buat macam tu, tapi saya betul-betul tak selesa sebab sebelum ni kita cuma pekerja dan majikan," kataku. Dia berpaling.
" May, sekarang ni kita cuba baiki dulu yang mana boleh, okey? Aku janji aku takkan buat kau sakit hati lagi, tapi kalau terjadi jugak, itu cuma gurauan," katanya. Aku diam.
" May, tak baik kau tidur membelakangi aku," usiknya. Tengok! Baru tadi berjanji! Aku berpaling dengan perlahan. Dia mengiring sambil menongkat kepala dan memandang aku. Apa pandang-pandang? Aku jegilkan mata padanya.
" Kita start from zero dulu, okey? Jangan memaksa saya untuk terima cinta awak dalam masa terdekat," ujarku.
" Okey, aku janji. Dahlah, jom tidur. Aku mengantuk sangat ni," ajaknya sambil mencuit hidungku. Terasa bahang mukaku apabila spontan dia buat begitu. Aku terlentang. Baru beberapa minit, terdengar dengkuran halus dari Adam Usyair. Dalam gelap, aku tersenyum.
******************************************************************************************
Usai solat subuh berjemaah, aku keluar untuk menolong mak menyiapkan sarapan pagi. Kelihatan Nadia dan ateh sudah bangun. Sebaik nampak kelibat aku, Nadia dan ateh terus tersengih-sengih. Aku menjegilkan mata dan mereka berdua ketawa mengekek-ekek. Emak terus menoleh.
" Ape keheynye tu, ateh?" soal emak. Ateh menekup mulutnya.
" Gatal!" aku menjawab. Emak berpaling.
" Adam dah bangun, achik?" soal emak. Aku cuma mengangguk. Aku hampiri Nadia dan ateh yang sedang menggoreng nasi. Hari ini giliran kenduri di rumah mertua aku. Kami akan bertolak dalam pukul 10 pagi. Aku duduk di sebelah Nadia.
" Mandi basah rambut tak?" soalnya dengan muka gatal. Aku menampar bahunya.
" Oh, patutlah kau dengan ateh tengok aku ketawa mengekek-ekek! Rupanya itu yang korang fikirkan! Eii, otak kuning betul!" jawabku.
" Alah, nak mengusik je pun," kata ateh. Aku menjeling.
" Takde makna nak share-share dengan korang ni! Berdosa je," jawabku sambil menyusun pinggan. Baru saja kami berbual, mataku terpandang pada susuk tubuh Adam yang berdiri di pintu dapur. Lantas tangannya menggamit aku.
" Amboi, bos! Tak sempat si May nak makan, bos dah panggil. Tak boleh berenggang langsung," usik Nadia apabila aku bangun menghampiri suamiku. Adam cuma tersenyum kelat manakala aku sudah menjeling tajam. Dia memeluk bahuku.
" Nak apa?" soalku. Dia mengajak aku masuk ke dalam bilik.
" Kau kemas baju dulu, nanti lepas makan kita keluar awal sikit. Umi pesan suruh kita balik awal nanti takdelah tetamu semua nampak kau," katanya. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
" Tak boleh konvoi?" soalku.
" Biar diorang je konvoi, kita keluar dulu," katanya sambil mengemas beg bajunya. Aku mencapai beg bajuku dan memasukkan beberapa pasang baju. Debaran di hati semakin kian terasa. Nak bermalam di rumah mertua pulak? Adeh, mana bisa ini!
" May..," terdengar emak memanggil. Adam membuka pintu. Wajah emak kelihatan dan dia tersenyum.
" May tak panggil kamu makan ke, Adam?" soal emak. Adam tersenyum.
" Dah. Ini saya suruh dia kemas kain baju dulu, takut nanti tak sempat. Hurm, mak, nanti kami berdua keluar awal dulu. Mak dengan yang lain konvoi kemudian ye," kata Adam pada emak dengan lemah lembut. 'Huh! Dengan aku cakap macam nak ajak bergaduh! Dengan emak, macam nak mengorat je! Aku bilang abah kang!' hatiku membebel sambil menjeling.
" Hah? Ye ke? Kalau macam tu, takpelah! Mari makan dulu, takut nanti sementara nak tunggu bersanding tengahari, korang lapar. Jom! May, cepat ajak suami kamu makan," kata emak lalu beredar keluar. Sebaik emak hilang dari pandangan kami, Adam menoleh dengan muka serius. Aku tergamam.
" Dah habis membebel?" soalnya. Erk! Dia tahu? Aku mengawal riak muka yang gelabah. Selesai mengemas baju, aku cepat-cepat menuju ke pintu.
" Jom makan dulu," kataku lalu terus keluar. Adam tersengih.
********************************************************************
Kami tiba di banglo mewah Tan Sri Ghazali, Villa Teratak Cinta, pada pukul 11 pagi. Sebaik saja keluar dari BMW milik Adam, aku melihat sekeliling. Sebenarnya aku pernah datang ke rumah Adam, adalah dalam 2-3 kali, itu pun sebab hari raya. Kalau tak, jangan haraplah aku nak bertandang ke rumah singa ni. Huh, singa ni dah jadi laki aku pun!
" Assalamualaikum, umi," jerit Adam dari luar. Puan Sri Sabrina yang sedang sibuk mengarahkan pihak katering menyusun tempat, menoleh. Ha, kan dah kata! Katering! Haha.
" Waalaikumsalam, pengantin baru," jawabnya sambil tergesa-gesa menghampiri kami berdua. Aku bersalaman dengan ibu mertuaku lalu mencium pipinya.
" Awal sampai?" soal umi. Aku mengerutkan kening, lalu pandanganku beralih pada Adam. Dia memandang ke arah abinya yang sedang memantau pihak yang menyiapkan pelamin. Puan Sri Sabrina yang mengetahui itu adalah idea anaknya cepat-cepat mencelah.
" Pergi naik cepat, nanti orang sampai, dah tak surprise lagi," kata umi. Aku akur lalu terus membawa beg bajuku masuk ke dalam istana mewah itu.
" Nab, tunjukkan bilik May," kata Puan Sri Sabrina kepada Mak Nab yang sedang menyusun pinggan mangkuk. Mak Nab menghampiriku. Sebaik saja aku bersalaman dengan Mak Nab, Adam menghampiri kami.
" Takpelah, mak! Biar Adam bawak dia ke bilik," kata Adam. Aku pelik. Mak?
" Nanti bersiap terus ye, Adam, May," kata Mak Nab lalu beredar ke dapur. Aku terus membuntuti Adam naik ke tingkat atas. Sampai saja di bilik Adam, aku terkesima. Bilik pengantin warna biru lembut. Cantiknya!
" Masuklah! Yang kau tercegat kat pintu tu, buat apa?" kata Adam sebaik saja baring atas katil empuk miliknya. Aku meletakkan beg di lantai lalu terus duduk di kerusi rehat di sudut bilik. Adam membuka suis air-cond dan seketika kemudian bilik terasa dingin. Aku terdiam. Bilik aku cuma ada kipas siling, dah tentu dia kepanasan dan mengharapkan bilik yang sejuk begini. Dalam melayan perasaan, aku mulai mengantuk.
" Jangan fikir aku rimas berada di rumah kau pulak. Aku nak kita rehat dulu dan sejukkan badan sebelum bersiap," katanya sambil memejamkan mata. Mataku yang tadinya terpejam, kini terbuka luas. Sah! Dia memang ada kuasa psikik!
" Saya tak kata apa-apa punlah!" aku menafikan. Dia mengumam dalam tidur. Aku ralit melihat biliknya yang besar sehinggalah mataku kembali memandang dia di atas katil. Dan aku tergamam apabila tersedar yang dia rupanya sedang memerhatikan aku. Aku menunduk.
" May, sini?" panggilnya sambil menepuk-nepuk ruang kosong di sebelahnya. Ah, sudah! Aku tak suka betullah bila dia panggil macam tu! Perlahan-lahan aku bangun menuju ke arah katil, lalu duduk di sebelahnya.
" Apa?" soalku.
" Aku nak cerita sikit, Mak Nab tu aku panggil mak sebab dia mak asuhan aku masa kecil dulu. Kami semua panggil dia mak. Aku harap kau pun panggil dia mak," katanya. Oh, itu yang dia nak cerita kat aku. Okey, takde masalah, bos! Lagi? Aku menanti.
" Kau buat je bilik dan rumah aku ni macam rumah sendiri," katanya. Mungkin dia tahu aku tak selesa sebab rumah dia besar.
" Mana sama, rumah saya takde besar macam ni haa," aku menjawab.
" Buat je bagi selesa," katanya. Aku diam, berfikir.
" Lepas ni kita akan duduk sini ke, bos?" soalku.
" Tak, kita duduk kat rumah aku kat Putrajaya. Aku beli rumah kat sana," katanya. Huh, selamat tak duduk dengan mertua. Silap-silap, bila bergaduh tahu habis satu rumah.
" May, aku rasa sejuk je tengahari ni. Mata ni pun kuyu je. Nak tidur," katanya sambil menguap. Aku mencebik.
" Tidurlah! Apesal bos ajak saya pulak?" soalku. Kemudian dia ketawa. Aku pelik.
" Pandai pun menjawab. Ingatkan nak diam kaku macam masa kat rumah kau," katanya membuatkan aku tersipu-sipu.
" Tapi, apa kau panggil aku tadi?" soalnya. Aku tergamam apabila matanya memandang ke arahku.
" Bos!" jawabku. Dia bingkas bangun.
" Kalau kau tak nak panggil aku abang, aku cium kau!" ugutnya dengan muka serius. Aku menutup mulut lalu cepat-cepat aku turun dari katil. Dia turut turun dari katil lalu mengejar aku dan menangkap lengan aku. Suami aku ni badan sasa, kalau lawan dengan badan debab aku ni memanglah aku menang. Tapi kudrat dia, aku bukan lawannya. Tersentak aku apabila dia menarik aku ke dadanya, lalu memeluk aku erat. Aku cuba menolak namun gagal.
" Lepaslah, bos! Nak bersiap-siap ni!" aku meronta-ronta dengan mata terpejam.
" Aku kata apa tadi?" soalnya dengan wajahnya semakin mendekati wajahku. Bila hampir saja hidung kami bertemu, aku membuka mata luas-luas.
" Abang!" akhirnya keluar perkataan keramat itu. Sungguh, dengan satu perkataan saja, Adam berhenti lalu melepaskan aku. Dia ketawa.
" Haa, boleh pun panggil abang. Ye, sayang. Nak apa?" dia bertanya dengan nada yang amat mengada-ngada. Aku menolak badannya lalu berlalu ke bilik air.
" Menyampah!" aku menjawab sebelum menutup pintu bilik air. Dari dalam, aku terdengar dia ketawa berdekah-dekah. Eei..benci,benci!
*******************************************************************
Hari sudah menginjak petang. Ramai kawan-kawan Tan Sri dan Puan Sri yang hadir dan ada jugak setengah yang dah pulang.Terasa penat semalam belum hilang, hari ni bertambah lagi. Nadia tak henti-henti mengipas dirinya sebaik kami duduk di kerusi makan. Aku menoleh melihat Adam sedang bergelak ketawa dengan Muiz dan Lutfi. Sukalah tu mengumpat aku!
" May, dia macam mana? Masih jadi singa?" soal Nadia. Aku menoleh. Gaun berwarna putih yang aku pakai terasa berat kerana terlalu labuh dan tebal.
" Aah! Singa senget!" jawabku. Nadia ketawa.
" Aku nak ambil air. Kau nak tak?" soal Nadia lalu bangun. Aku angguk. Nadia berlalu menuju ke khemah katering. Tanpa sedar, seseorang duduk di hadapanku. Aku terkejut.
" Tak sangka pulak kau yang jadi pilihannya!" sindir wanita itu. Yanti! Aku terdiam.
" Aku tak tahulah ubat apa yang telah kau bagi pada Adam, tapi aku akan pastikan yang kau tak kan bahagia! Aku akan rampas Adam dari kau! Kalau aku tak dapat dia, kau yang akan terima akibatnya!" ugut Yanti. Dia bangun dan cepat-cepat pergi apabila Nadia kembali menghampiri aku. Aku menyambut gelas minuman namun fikiranku melayang, memikirkan kata-kata Yanti sebentar tadi.
" May?" panggil Nadia. Aku diam lalu memandang ke arah hilangnya kelibat Yanti. Nadia memandangku hairan. Hatiku diburu gelisah. Ya Allah, jauhkanlah Adam dari niat jahat dia! Hatiku berdoa. Walaupun aku marahkan Adam, dia masih tetap suamiku!
Tanpa sedar, pertemuan tanpa dirancang kami itu telah disaksikan oleh Adam, Muiz dan Lutfi. Adam mengetap bibir manakala Muiz dan Lutfi berpandangan sesama sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan