16 Mei 2012

KiSaH hATi ~ 22

     Nia Aryana melipat satu persatu baju anaknya, dan meletakkan di dalam bakul baju. Sesekali matanya melirik ke arah Alisha Nisrina yang nyenyak tidur. Matanya memandang ke arah jam sekilas kemudian terus menyambung kerjanya.
     " Nia?" sapa ibunya yang baru menjengah muka di pintu. Nia Aryana tersenyum lalu Puan Hawa melangkah masuk membawa bekas air panas. Dia duduk di hadapan anaknya.
     " Kamu dah sapu minyak telon tu, Nia?" soal Puan Hawa.
     " Dah, mak! Tu yang lena sangat," jawab Nia Aryana. Puan Hawa membetulkan kain selimut cucunya.
     " Angah kamu dah masuk hospital. Darahnya naik pulak. Hurm, si Amy kalau boleh makan semua nak dibedalnya. Nasib baik Firdaus tak pergi kerja lagi. Kata mak Anum, tetiba je si Amy tumbang di dapur. Membebel jugaklah si Firdaus," kata ibunya. Nia Aryana ketawa.
     " Alah, mak ni macamlah tak kenal angah tu! Kalau dah namanya akan berpantang 2 bulan, semua makanan memang akan masuk perut dia dulu," jawabnya. Puan Hawa menggelengkan kepalanya.
     " Mak terkejut sebenarnya, Dato' Zainal datang petang tadi. Mak ingat dia nak tuntut Alisha, rupanya nak melawat. Kenapa kamu tak cakap kamu jumpa dia masa check out pagi tadi?" soal Puan Hawa. Nia Aryana tersenyum kelat.
     " Lama mana Nia nak elak, mak? Pusing-pusing pun akan jumpa jugak! Dia kan Dato', kalau tak jumpa dia, mesti akan jumpa orang yang bersangkutan dengannya. Itu pun sebab dia sakit, mak. Tapi Nia tak kisah, Nia tahu dia tak macam Datin," luah Nia Aryana. Puan Hawa mengeluh.
     " Harap-harap dia tak bagitahu Datin lah ye? Bukan apa, mak bimbang," kata ibunya.
     " Apa yang mak nak bimbangkan sangat? Kalau dia cabar Nia buat DNA Alisha, Nia berani buat! Ini anak arwah abang Ariff, mak!" tegas Nia Aryana. Puan Hawa mengangguk tanda mengerti. Perlahan dia bangun, untuk beredar.
     " Carlos sampaikan salam. Dia telefon tadi, tapi tak nak ganggu kamu. Nia, kalau Carlos tu betul nak kan kamu, mak tak akan menghalang. Malah mak merestuinya. Kamu berfikirlah demi masa depan kamu dua beranak. Mak tak boleh menjaga kamu selamanya, Nia," kata Puan Hawa lalu keluar. Nia Aryana terkedu.
     " Mak..." cuma itu saja perkataan yang mampu keluar dari bibirnya. Dia merenung Alisha Nisrina yang mengeliat sebelum menyambung semula lenanya.
                                          ************************************************
     Carlos sedang berbaring di ruang tamu, ralit melihat gambar Alisha Nisrina yang diambil semasa berada di rumah Nia Aryana siang tadi. Sesekali dia mencium gambar di skrin telefon bimbitnya. Sungguh, dia jatuh sayang dengan anak kecil itu. Perbuatannya seakan-akan orang sedang angau telah diintai oleh adik-adiknya yang berada di pintu dapur tanpa sedar. Mengekek-ngekek Delia ketawa sambil tangan gebunya menutup mulut. Natalia menampar bahunya. Kelibat Datin Melina sedang menuruni anak tangga cepat-cepat tangannya ditarik Nita.
     " Che cosa succede, cara?" soal Datin Melina terperanjat.
     " Mama tengoklah abang Carl tu! Angau!" kata Nita. Datin Melina menjengah kepala dari pintu dapur, dan mereka berempat tersenyum sumbing. Dato' Azman yang memerhati tingkah laku 4 beranak itu menjungkit kening, kemudian memerhati ke arah ruang tamu dan melihat anak bujangnya dengan pandangan pelik.
     " Ayah..!" panggil Delia separuh berbisik. Dato' Azman menoleh dan berjalan menuju ke arah dapur. Mereka semua mengintai dari pintu dapur sehingga penuh ruang.
     " Ni kenapa semua mengintai abang?" soal Dato' Azman separuh berbisik.
     " Tadi abang cium-cium handphone dia tu," jawab Delia. Dato' Azman menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pandangannya bertemu pandangan isterinya dan isterinya cuma mengangkat bahu.
     " Dah tu takkan semua nak dok sini? Ayah nak tengok berita ni," kata Dato' Azman lalu beredar. Natalia cuba mencapai baju ayahnya namun gagal. Pantas mereka semua duduk rendah sedikit agar tidak dapat dilihat dari ruang tamu.
     "Ehem,ehem!" Dato' Azman berdehem dan Carlos bingkas bangun. Tersengih-sengih Carlos apabila ayahnya memandangnya dengan pandangan pelik.
     " Hah! Kenapa sengih-sengih ni?" soal Dato' Azman walhal dia sudah mengetahuinya. Dia duduk di sofa utama bertentangan dengan anaknya.
     " Hehe..Takde apalah, yah!" jawabnya ringkas. 'Mati aku kena gelak kalau dia tahu aku main cium-cium handphone ni,' getus hatinya.
     " Tengok berita kat handphone ke? Advance handphone kamu sekarang ni?" perlinya. Carlos tersenyum sumbing sambil matanya menatap skrin tv. Dato' Azman sesekali melirik matanya pada anak bujangnya dan terus menjeling jauh ke pintu dapur. Tetiba dia berniat untuk mengenakan anak bujangnya itu.
     " Kamu cium gambar siapa tadi?" soalan ayahnya bagaikan panahan petir menujah ke telinganya. Carlos hampir tersedak, dan kemudian dia memandang ayahnya dengan sengihan lebar. Dato' Azman menjeling.
     " Cium gambar? Mana ada!" sangkalnya. 'Oh,no!Janganlah ayah tahu apa aku buat tadi! Malu kena gelak dengan adik-adik ni!Adeh!' hatinya mulai cuak.
     " Eleh, ayah nampak dari atas tangga tadi," jawab ayahnya. 'Ah,sudah! Habis aku kena giat ni karang!' hatinya membebel.
     " Ayah dah nampak tu, janganlah kecoh-kecoh! Ini mau mati kena gelak dengan empat gadis pingitan tu!" kata Carlos dengan muka yang merah padam. Dato' Azman ketawa terbahak-bahak. Carlos yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku turut ketawa, fikirnya ayahnya ketawa kerana dia hanya mencium handphone.
     " Kenapa kamu gelak?" soal ayahnya apabila mereka berhenti gelak. Carlos meraup rambutnya.
     " Dah ayah gelak, Carl gelaklah jugak!" balas anaknya polos.
     " Ayah gelak sebab...tu ha..!" kata Dato' Azman sambil muncungnya dihalakan ke arah pintu dapur. Dengan pantas Carlos menoleh, dan...mukanya terasa membahang dan bertukar merah padam. Kelihatan ibunya dan adik-adiknya melambai-lambai ke arahnya manakala Delia melakukan ulang tayang seperti yang dia lakukan tadi - mencium handphone. Kemudian tawa mereka semua meletus kuat.
     Saat itu Carlos Daniel rasa seperti mahu menjerit sekuat hati. 'Malunya.....!' jerit hatinya. Pantas dia mengambil sweaternya lalu ditekup ke muka. Suasana di banglo mewah itu terasa riuh dengan gelak tawa mereka.
                                            ***********************************************
     " Hahahaha!" Azreen terus ketawa sehingga bergema pejabat Carlos. Carlos sudah membuat muka lalu dia menampar lengan sepupunya itu.
     " Gelak sikit-sikit dah lah! Kau ni...!" Carlos memberi amaran. Azreen cuba untuk berhenti ketawa namun masih bersisa.
     " Kau buat lawak antarabangsa, tau tak, Carl? Ini semalam mesti kena giat habis,kan?" soal Azreen.
     " Tahu takpe! Nak-nak ada pulak si Nita, pergh! Aku rasa nak menyorok dalam mesin basuh je kau tahu? Ingat dah habis, pagi ni mama aku pulak dok usung handphone dia, konon-konon macam orang tengah bercinta! Pastu nampak aku dia bantai gelak tak ingat! Aku nak makan pun tercekik rasanya!" jawab Carlos sambil menyemak fail di depannya. Azreen masih mengekek-ngekek.
     " Dah tu, kau tunjuk tak gambar siapa yang kau cium tu?" soal Azreen.
     " Takkan aku nak tunjuk aku kiss gambar Alisha. Nanti diorang kata aku sewel sebab angau baby je," katanya. Azreen bangun sambil mengambil fail yang disemak tadi.
     " Jawab aje, 'ma, Carl angaukan mama baby ni..bukan baby ni'," jawab Azreen sambil berjalan keluar.
     " Merepek jelah kau ni!" jawab Carlos dan Azreen menjelirkan lidahnya sebelum keluar. Dia menyambung semula kerjanya. Pantas dia memasukkan gambar Alisha Nisrina dan Nia Aryana ke dalam laptopnya lalu dijadikan gambar skrin latar. Begitu ralit dia memandang wajah kedua-dua insan yang benar-benar mencuri hatinya. Tanpa sedar....
     " Dah-dah laa tengok si Alisha tu. Rindu mama si Alisha pergi ajelah ke rumahnya!" suara Azreen bergema di interkom. Carlos mengurut dadanya lalu dia menekan butang interkom.
     " Kau ni hantu lah, Rin! Terkejut aku! Diam-diam sudah lah!" balas Carlos. Kedengaran suara Azreen ketawa sebelum dia menutup butang interkom.
      Wajah ayu Nia Aryana saat mendodoikan si comel Alisha Nisrina terlayar di ruang matanya. Dia bersandar dengan mata yang terpejam. Peristiwa kena gelak dengan ahli keluarganya malam semalam turut membuatkannya ketawa tanpa sedar.
     " Carlos, Carlos! Angau dah parah tahap dewa ni!" Carlos berkata kepada dirinya sendiri. Seketika kemudian, dia tersenyum.

Tiada ulasan: